Feeds:
Posts
Comments

Archive for August 30th, 2009

BESUT 29 Ogos (Utusan Malaysia)- Para peniaga bazar dan pasar Ramadan yang ‘mengitar semula’ makanan yang tidak habis dijual akan dikenakan tindakan tegas termasuk menarik balik lesen dan menutup perniagaan serta merta.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhar berkata, tiada tolak ansur diberikan kepada peniaga terbabit berkenaan kerana perbuatan itu mengundang berlakunya keracunan makanan.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Kesihatan Negeri bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan membuat pemantauan setiap hari bagi memastikan makanan yang dijual benar-benar bersih dan sesuai untuk dimakan.

Menurut beliau, sepanjang tahun lalu sebanyak 53 peratus makanan yang dijual di pasar dan bazar Ramadan di negeri ini didapati dicemari kuman ekoran cara penyediaan, kebersihan tempat menjual dan pengendali yang tidak menitikberatkan kebersihan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyampaian sumbangan Ihya Ramadan kepada 14 masjid dan 28 surau dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut di Pusat Khidmat ADUN Kuala Besut dekat sini semalam.

A. Rahman berkata, makanan yang sudah dimasak mudah dicemari dan menjadi tempat kuman membiak selepas kira-kira empat jam.

”Apabila makanan sudah sejuk, ia mudah dicemari kuman, apa lagi jika selepas 12 jam, sudah pasti ia memberi kesan buruk kepada mereka yang memakannya.

”Peniaga perlu lebih beretika dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata dengan menjual semula makanan yang tidak habis dijual,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Kuala Besut berkata, bagi menjaga keselamatan pengguna, Jabatan Kesihatan turut membuat pemeriksaan di lokasi penyediaan makanan atau di rumah peniaga makanan terbabit.

Jelas beliau, orang ramai boleh membuat aduan kepada PBT dan Jabatan Kesihatan jika mendapati masih ada peniaga tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Advertisement

Read Full Post »