Feeds:
Posts
Comments

Archive for August 29th, 2009

KUALA TERENGGANU, 29 Ogos (Bernama) — Kerajaan Terengganu akan mula mengagih bantuan dari dana khas hari raya kepada lebih 160,000 keluarga yang terdiri daripada kalangan golongan miskin, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal serta warga emas, minggu depan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata jumlah keseluruhan dana khas bantuan raya itu belum diputuskan, namun menurutnya jumlah itu dijangka meningkat tahun ini berbanding tahun lepas.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat adik Muhamad Ayub Mansor, 7, yang menghidap penyakit jantung berlubang di Kampung Cabang Tiga di sini beliau berkata, tahun lepas kerajaan mengagih bantuan dana khas yang berjumlah kira-kira RM38 juta kepada 160,000 keluarga.

Sementara itu Ahmad berkata kerajaan negeri akan menanggung keseluruhan kos rawatan pembedahan Muhamad Ayob di Institut Jantung Negara (IJN) yang dianggar menelan belanja RM30,000.

Ibu Muhammad Ayob, Haryati Mohd Fauzi, 32, surirumah sepenuh masa berkata anaknya banyak ketinggalan dalam pelajaran kerana kerap tidak ke sekolah berikutan penyakit yang dihidapinya itu.

Beliau berkata anak bungsu daripada dua beradik itu kini mendapat rawatan enam bulan sekali di IJN yang melibatkan perbelanjaan RM500, namun menurutnya oleh kerana tidak mampu memandangkan suaminya yang bekerja sebagai pembantu di kedai alat ganti dengan pendapatan hanya RM700 sebulan, rawatan anaknya itu hanya dapat dibuat setahun sekali.

— BERNAMA

Advertisement

Read Full Post »

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 28 Ogos – Polis yakin dapat melumpuhkan tiga rangkaian sindiket pengedaran dadah di negeri ini dengan tertangkapnya enam lelaki dalam tiga serbuan sejak kelmarin di Kuala Berang, Besut dan Manir.

Serbuan dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu turut merampas dadah jenis heroin dan pil kuda yang bernilai hampir RM100,000.

Ketua JSJN Terengganu, Supritendan Roslan Abdul Wahid berkata, kejayaan itu turut menyekat aliran pengedaran dadah ke kawasan Manir dan Batu Enam yang kini dipercayai sering mendapat permintaan tinggi.

Katanya, ketiga-tiga sindiket yang ditahan itu dipercayai menjadi pembekal dadah ke dua-dua kawasan berkenaan walaupun lokasi penahanan mereka berbeza.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dan siasatan polis, pihaknya percaya ketiga-tiga sindiket yang ditahan itu ada hubungan kait dengan peningkatan masalah penagihan dadah di Manir dan Batu Enam.

“Ini terbukti apabila semua suspek yang ditahan mengaku bekalan dadah yang diperolehi dari Thailand itu belum sempat diedar ke dua kawasan berkenaan.

“Kita percaya, penahanan tiga sindiket ini menunjukkan kejayaan jabatan narkotik dalam pembersihan dadah di dua kawasan tersebut termasuk sekitar Wakaf Tapai dan Bukit Payong dalam daerah Marang,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Roslan memberitahu, kejayaan itu hasil tangkapan seorang lelaki berusia 25 tahun bersama 1,940 biji pil kuda bernilai RM80,000 dalam lubang tandas di Taman Kenanga di Hulu Terengganu semalam.

Tambahnya, pada pukul 2 pagi ini pula, cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut berjaya menangkap tiga lelaki berusia antara 28 hingga 29 tahun dalam sebuah kereta Ford Telstar di Kampung Seberang Jertih, Besut.

Bersama mereka, ditemui sembilan botol dadah jenis heroin yang disorokkan di dalam poket seluar masing-masing.

Ujarnya, hasil ujian air kencing, ketiga-tiga suspek juga di dapati positif.

Dalam serbuan susulan, Roslan memaklumkan, JSJN telah membuat serbuan ke atas sarang dadah di kawasan Padang Tenggir, Manir pada pukul 7.20 pagi ini.

Hasil serbuan itu, katanya, polis menangkap 18 orang penagih dadah beserta dua orang pengedar.

Read Full Post »