Feeds:
Posts
Comments

Archive for August 23rd, 2009


ZAIMAH (kanan) bersma ahli keluarga melihat kedai makan miliknya musnah dalam kebakaran di Jalan Budiman, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU(Berita Harian): Sebuah kedai makan yang menjadi sumber pendapatan enam sekeluarga, di Jalan Budiman di sini, hangus dalam kebakaran kira-kira jam 9 pagi semalam.

Kebakaran itu menimbulkan tanda tanya kepada pemiliknya kerana premis itu hanya dibuka waktu siang dan tiada bekalan elektrik, sekali gus mengetepikan kemungkinan berlaku litar pintas, sementara tong gas dibawa pulang.

Pemilik kedai makan itu, pasangan Abdul Rahman Mat Hassan, 55, dan Zaimah Yusuf, 48, berkata mereka membawa pulang kelengkapan memasak untuk membersihkan kedai sebagai persediaan untuk menjual kuih muih sempena Ramadan mulai semalam.

“Kami membawa kelengkapan itu kerana mahu menyediakan juadah kerana ingin berniaga kuih-muih, tetapi nampaknya semuanya sudah berakhir mungkin tahun ini rezeki kami tiada,” katanya di tempat kejadian.

Zaimah berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi adiknya yang berada di Chendering dan ketika kejadian dia berada di rumah yang terletak beberapa kilometer dari tempat kejadian.

“Ada orang memaklumkan kejadian kepada adik saya mungkin mereka tidak mempunyai nombor telefon atau tidak tahu rumah saya,” katanya yang mengesyaki kejadian itu mungkin berpunca daripada perbuatan khianat.

“Mungkin ia tidak disengajakan, namun saya serahkan segalanya kepada siasatan bomba,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Che Kundur, Saad Mahmud, berkata pihaknya akan membantu meringankan beban keluarga mangsa.

Katanya, dia akan memanjangkan perkara itu kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat supaya bantuan dapat disalurkan.

“Mangsa sudah lama berniaga di kawasan ini dan kejadian ini pastinya memberi kesan kepada mereka, terutama ketika mereka bersiap sedia mencari pendapatan pada bulan puasa ini,” katanya.

Read Full Post »

AHMAD Said (kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di perkarangan Masjid Abidin, Terengganu, semalam. – MINGGUAN/AZLAN BAHRUM


KUALA TERENGGANU 22 Ogos (Utusan Malaysia) – Kerajaan negeri akan mengadakan gotong-royong menyediakan bubur lambuk di seluruh negeri ini sebagai usaha merapatkan hubungan antara pelbagai peringkat masyarakat Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, ia merupakan antara program kemasyarakatan yang dirancang kerajaan negeri sepanjang bulan Ramadan.

Katanya, bahan-bahan masakan dan peruntukan yang akan digunakan untuk gotong-royong itu disumbangkan anak-anak syarikat dan agensi kerajaan negeri.

“Kita akan mengadakan gotong-royong ini mengikut permintaan penduduk. Hari ini kita adakan gotong-royong di Masjid Abidin di sini.

“Sebanyak 3,000 bubur lambuk diedarkan untuk penduduk Kuala Terengganu,” katanya ketika ditemui di Masjid Abidin yang lebih dikenali sebagai Masjid Putih di sini hari ini.

Read Full Post »