Oleh IRMAN HASHIM
![]() |
Pasar Besar Kedai Payang di Kuala Terengganu yang menjadi pusat ekonomi dan penjualan produk keluaran tempatan perlu dinaik taraf dan dibaiki bagi menjamin keselesaan pengunjung serta peniaga. – utusan\Azlan Bahrum
|
KUALA TERENGGANU 20 Ogos – Sudah setahun lapan bulan, Kuala Terengganu diisytihar sebagai bandar raya ke-12 di negara ini.
Pengisytiharan tersebut sepatutnya sedikit sebanyak mengubah dan membawa pembangunan pada Kuala Terengganu yang dulunya dianggap sebagai ‘bandar mati’.
Bagaimanapun, pembangunan yang dirancang dan diuar-uarkan akan dilaksanakan selepas pengisytiharan itu dilihat masih belum dilaksanakan sepenuhnya.
Ini dapat dilihat apabila tiada perubahan dilakukan ke atas Pasar Besar Kedai Payang di sini yang dibina berpuluh-puluh tahun lalu dan menjadi pusat ekonomi dan membeli-belah di daerah ini.
Pasar Besar Kedai Payang yang lebih dikenali sebagai Pasar Payang merupakan antara monumen yang menjadi identiti pada Kuala Terengganu.
Di bawah pembangunan Kuala Terengganu Bandaraya Warisan Pesisir Air, kawasan tersebut di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini akan dibangunkan sebagai pusat ekonomi dan penjualan produk-produk keluaran warga tempatan.
Untuk itu, kompleks perniagaan Bazar Warisan telah dibina bagi meningkatkan pusat jualan dan Pasar Besar Kedai Payang pula akan dinaik taraf dan dibaiki.
Bazar Warisan yang menempatkan kira-kira 80 buah kedai telah siap dibina dan boleh diduduki pada awal tahun lalu.
Kompleks yang mengambil konsep bazar tersebut juga mempamerkan ciri-ciri warisan kraf Terengganu pada struktur bangunan itu.
Bagaimanapun, sehingga sekarang, tiada apa-apa tindakan diambil untuk mengubah keadaan fizikal Pasar Payang yang dilihat semakin buruk baik dari luar dan juga ketika memasuki bangunan itu.
Keadaan fizikal kedua-dua bangunan yang terletak bertentangan di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini amat berbeza dan menyakitkan mata.
Kira-kira seratus peniaga baik barangan runcit, barangan segar dan basah serta produk-produk tempatan termasuk batik dan songket di Pasar Payang masih menjalankan perniagaan masing-masing seperti biasa.
Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati para peniaga juga tidak dimaklumkan apa tindakan yang ambil oleh pihak terlibat dan apa yang perlu mereka lakukan semasa proses menaik taraf Pasar Payang.
Seorang peniaga runcit, Rohaya Mamat, 36, ketika ditemui berkata, dia pernah mendengar pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menaik taraf Pasar Payang selepas Kuala Terengganu dimasyhurkan sebagai sebuah bandar raya.
”Kami tidak pula dimaklumkan secara rasmi mengenai penaiktarafan tersebut oleh pihak terlibat.
”Kami juga tidak diarahkan untuk berpindah atau mengambil tindakan sepatutnya bagi menghadapi proses tersebut,” katanya.
Menurutnya, Pasar Payang sudah lama dibina dan kebanyakan bahagian bangunan itu sudah rosak.
”Banyak bahagian bangunan sudah lama rosak dan kerja-kerja penyenggaraan tidak pula dilakukan,” ujarnya.
Seorang lagi peniaga, Tarmizi Othman, 27, berkata, sungai di belakang Pasar Payang sudah ditambak dengan pasir.
”Saya dimaklumkan tambakan sungai itu merupakan sebahagian daripada projek Bandaraya Pesisir Air.
”Namun saya tidak tahu pula sama ada penaiktarafan Pasar Payang sebahagian daripada projek itu kerana tidak pernah dimaklumkan mengenainya,” katanya.
Menurutnya, para peniaga di sini ada mendengar mengenai penaiktarafan tersebut melalui khabar angin sahaja.
”Jika ia benar akan dilaksanakan, ia perlu dilakukan dengan segera ekoran ia merupakan langkah untuk mengindahkan bandar raya ini,” ujarnya.

Leave a Reply