utusanterengganu@utusan.com.my
![]() |
Tiada pilihan… Penduduk terpaksa berkampung di atas kawasan tapak tanah perkuburan masyarakat Cina di Kampung Titian Lembut, Jalan Pusara, Kuala Terengganu. – utusan/Fauzi Baharudin
|
KUALA TERENGGANU 17 Ogos – Apakah yang anda bayangkan apabila terlintas di fikiran mengenai kawasan perkuburan? Apa yang pasti, bayangan pertama yang mungkin muncul khususnya pada waktu malam ialah kegelapan yang sepi, dingin angin malam serta kedengaran sayup-sayup lolongan burung hantu dan salakan anjing yang menjadikan suasana seram menyelubungi kawasan berkenaan.
Bukan itu sahaja, pastinya bau wangian pohon kemboja yang ‘menghiasi’ tanah perkuburan pasti membuatkan hati berdebar-debar sekiranya anda melalui kawasan tersebut seorang diri.
Jika membayangkan perkara-perkara pelik yang berlaku di kawasan tanah perkuburan pastinya tiada yang sanggup untuk mendirikan rumah berhampiran kawasan berkenaan, apatah lagi jika benar-benar di atas tanah kubur.
Namun, bak kata pepatah Melayu, alah bisa tegal biasa.
Begitulah yang boleh diumpamakan kepada lebih 30 penduduk Kampung Titian Lembut, Jalan Pusara apabila hampir kesemua mereka mendirikan kediaman mereka di atas tanah perkuburan masyarakat Cina atau lebih dikenali dengan perkampungan jirat Cina.
Dahulu, kawasan tersebut dipercayai merupakan sebidang tanah sawah padi.
Namun, apabila ia kering, penduduk membina kawasan penempatan di kawasan tersebut dan berkongsi pula dengan tanah perkuburan di situ.
Ini kerana asalnya kawasan tanah berkenaan merupakan milik masyarakat Cina.
Bagi menyelami hati penduduk-penduduk kampung berkenaan, wartawan Utusan Malaysia berkesempatan mengunjungi mereka yang sudah menetap di situ sejak 20 tahun lalu itu.
Perjalanan yang hanya 15 minit daripada bandar Kuala Terengganu memudahkan kami menemui kawasan tersebut yang dipenuhi lautan kubur pelbagai kaum.
Mungkin kunjungan yang dilakukan wartawan dan jurugambar pada sebelah siang menyebabkan tiada sedikit pun perasaan takut menyelubungi kami.
Namun, membayangkan suasana malam di kawasan itu, pastinya menyebabkan bulu roma meremang memandangkan keadaan di kawasan tersebut yang agak sunyi dari jalan raya.
Difahamkan, lebih kurang 30 penduduk yang mendiami kawasan berkenaan.
Hasil tinjauan, kebanyakan penduduk di kawasan berkenaan menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa.
Kanak-kanak juga tidak menghiraukan kubur-kubur yang mengelilingi mereka, malah menjadikan tapak kubur itu sebagai medan permainan mereka.
Tiada sedikit pun perasaan takut kelihatan di riak wajah mereka.
Seorang penduduk, Norhayati Ahmad, 24, ketika ditemui di kampung itu baru-baru ini memberitahu, dia dan keluarganya sudah lali dengan keadaan itu.
Katanya, sejak dia kecil lagi, jirat Cina itu sering menjadi kawasan permainannya bersama-sama rakan-rakan yang lain.
“Jika hendak dibandingkan dulu dan kini, dulu lebih menakutkan kerana terpaksa menggunakan pelita pada waktu malam dan bayangkan kami dikelilingi dengan mayat-mayat yang baru ditanam.
“Namun, disebabkan sudah biasa, kebanyakan penduduk di sini tidak berasa takut sedikit pun, tambahan pula tiada siapa pun pernah mengalami kejadian menyeramkan sejak mendiami di kawasan ini,” katanya.
Bagi Nazori Mahmud, 26, mengakui dia pada mulanya terkejut apabila berkenalan dengan isterinya yang tinggal di kawasan tanah kubur, namun lama-kelamaan dia juga sudah membiasakan diri.
Jelasnya, walaupun segelintir masyarakat luar menganggap ia pelik, namun bagi keluarganya mereka tiada pilihan lain.
“Keluarga isteri saya telah menginap di sini sebelum kubur wujud lagi, kini apabila kubur semakin banyak, mereka seharusnya berpindah, namun kerajaan sehingga kini belum lagi menyediakan penempatan lain.
“Walaupun tidak selesa tinggal di rumah ini yang dihuni lebih 15 anggota keluarga, namun mereka tiada pilihan,” jelasnya.
Tambahnya, dia memohon agar kerajaan negeri dapat memberi bantuan kepada keluarganya bagi mendapatkan penempatan baru sebelum kediaman tersebut dirobohkan apabila keperluan tapak perkuburan itu semakin bertambah.
“Kami sedia menerima apa sahaja bentuk bantuan penempatan daripada kerajaan dan kami harap ia dapat mampu menempatkan kami yang terdiri daripada lima keluarga,” jelasnya.
Leave a Reply