Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR
KUALA TERENGGANU – Sebuah kedai emas di Jalan Banggol di sini yang kerugian RM250,000 selepas dirompak seorang ‘perompak peramah’ pada 5 Ogos lalu dipercayai didalangi oleh pekerja wanita di kedai emas itu sendiri.
Rahsia itu terbongkar apabila polis menahan seorang lelaki yang juga abang tiri kepada pekerja wanita itu di Golok, Thailand pada 8 Ogos lalu.
Suspek lelaki itu ditahan kerana kes dadah tetapi siasatan turut membongkar kisah dia turut terlibat dalam rompakan di kedai emas tempat kakak tirinya bekerja.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah II negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, suspek lelaki itu masih ditahan di Balai Polis Narathiwat, Thailand dan polis negara ini dengan bantuan Interpol akan menyiasat penglibatan suspek dalam rompakan itu.
“Penahanan lelaki berusia 20-an itu membawa kepada penahanan pekerja wanita itu bagi membantu siasatan.
“Wanita berusia 22 tahun itu ditahan ketika dia datang menyerah diri di Ibu Pejabat Balai Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada pukul 4.30 petang semalam (kelmarin),” kata beliau sambil memberitahu wanita itu telah direman selama empat hari.
Sebelum itu, menurut beliau, suspek wanita itu telah menyerahkan tiga utas gelang hasil rompakan kepada pemilik kedai emas tersebut dengan alasan barangan kemas itu diperoleh daripada ibu suspek lelaki ketika dia berkunjung ke Golok pada 11 Ogos lalu.
Leave a Reply