KUALA TERENGGANU – (Sinar Harian) Seramai 34 peniaga di Jalan Bandar dan Jalan Banggol yang diarah mengosongkan premis perniagaan mereka, mulai semalam sehingga 17 Ogos ini tetap berkeras enggan berpindah selagi pihak pemaju serta Kerajaan Negeri tidak menyediakan lokasi baru untuk mereka berniaga.
Sehubungan itu, kumpulan peniaga terbabit yang sekali lagi mengadakan perhimpunan secara aman bersebelahan Pasar Payang, di sini semalam, mengambil keputusan untuk terus berniaga di situ, selain meminta Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menyelesaikan segera masalah terbabit.
Peniaga kedai buku dan majalah, Mohd Azam Abd Rahman, 50, berkata, bermacam-macam inisiatif dilakukan peniaga di situ bagi memohon dilanjutkan tempoh pemindahan selain meminta disediakan tapak baru untuk berniaga tetapi sehingga kini pihak terbabit masih bertindak dengan berdiam diri.
“Kami bukan ingin membantah arahan dikeluarkan, malah kami akur dengan kehendak berkenaan. Cuma janganlah begitu ‘zalim’ terhadap kami, apatah lagi notis singkat dikeluarkan ketika menjelangnya Ramadan dan Aidilfitri.
“Berbagai cara telah kami lakukan sebelum ini untuk memperjuangkan hak sebagai rakyat negeri ini tetapi langsung tidak ada sebarang respons daripada pihak yang berkenaan,” katanya.
Menurut Mohd Azam, mereka merayu supaya Menteri Besar sendiri turun padang bersama-sama rakyat di sini mendengar rintihan masalah yang dihadapi secara berdepan dan bukan dengan menggunakan ‘orang tengah’.
“Inilah jalan terakhir bagi kami kerana sebagai pemimpin, Menteri Besar seharusnya sentiasa bersama rakyat.
“Sepanjang notis dikeluarkan, saya dan rakan peniaga yang lain ada memohon untuk berniaga di tapak tanah kosong berhampiran Jalan Daik, berhadapan bangunan Paya Keladi tetapi tidak diluluskan,” katanya.
Menurutnya, mereka pernah memohon kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu untuk berniaga di tapak tanah kosong miliknya tetapi ditolak atas alasan tanah itu juga akan dibangunkan.
“Di sini, jelas menunjukkan sikap ketidakprihatinan pihak terbabit dengan masalah yang kami hadapi. Mereka seolah-olah langsung tidak memikirkan nasib kami dan 200 pekerja di sini yang akan kehilangan kerja akibat perniagaan ditutup.
“Kami di sini bukannya ingin menunjukkan sikap berdegil cuma kami memohon supaya menyediakan lokasi baru untuk kami berniaga. Soal tempoh tidak begitu penting kerana apabila penempatan baru disediakan, kami dengan serta-merta akan berpindah,” katanya.
Sementara itu, pengawal keselamatan di salah sebuah kedai emas, di sini, Razali Ibrahim, 51, berkata, sekiranya peniaga diarahkan pindah tanpa disediakan tempat, pekerja yang dibayar gaji juga turut merasa tempiasnya.
“Saya sudah 13 tahun bekerja di sebuah kedai emas di sini. Jika pihak terbabit masih berdiam diri, saya dan juga pekerja lain turut kehilangan pekerjaan serta punca pendapatan.
“ Saya sendiri tidak tahu bagaimanakah nasib saya dan keluarga selepas ini kerana mereka semua bergantung pada pendapatan saya,” katanya.