Apabila membaca ulasan Menteri Besar Dato’ Ahmad Said berhubung notis arahan pengosongan bangunan di Jalan Bandar dan Jalan Banggol ternyata bahawa beliau tidak berapa faham dengan isu yang laporkan oleh pelbagai akhbar. Terdapat banyak perkara dari jawapan dan komen yang dibuat oleh MB tidak berdasarkan kepada fakta dan tersasar dari isu sebenar.
Mungkin juga beliau tidak diberimaklum sebelum ini dengan sebaiknya. Atau para pegawainya yang seharusnya memberi maklumat kepadanya gagal berbuat demikian dengan baik.
Di sini Badan Bertindak Peniaga Jalan Bandar dan Jalan Banggol merasakan perlu untuk jawab dan menjelas apa yang sebenarnya kami para peniaga memohon. Kami merujuk kepada petikan akhbar Utusan Malaysia (10 Ogos 2009) dan Berita Harian (12 Ogos 2009)
- Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata semua peniaga berkenaan sudah dibayar pampasan sejak 1990-an (Berita Harian). Inilah jelas sangat bahawa MB tidak tahu isu sebenar. Para peniaga di sini tidak pernah mendapat pampasan mereka. Mereka adalah penyewa dengan pemilik premis Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT). Apa yang dimaksudkan oleh MB ialah pampasan yang dibayar kepada pemilik asal premis tersebut dalam proses “land acquisition” yang dilakukan pada pertengahan 1990an. Pampasan tidak diberikan kepada para peniaga kerana mereka mula menyewa hanya selepas LTAWNT mengambilalih pemilikan premis setelah membayar pampasan yang MB sebut itu kepada pemilik asal.
- “Jadi tak betullah kalau mereka tak nak keluar. Mereka bukan diberi notis sehari dua… dah bertahun. Apa yang kita nak buat sekarang ialah membangunkan bandar dan membesarkan jalan (Berita Harian). Sebenarnya yang tidak betul ialah LTAWNT (Kerajaan). Ini kerana notis yang dikeluarkan kepada penyewa (peniaga) adalah bertarikh 13 Julai 2009. Notis tersebut diserahkan kepada mereka pada 19 Julai. Dan berkuatkuasa 30 hari dari tarikh notis. Notis ini adalah notis yang PERTAMA pernah dikeluarkan oleh LTAWNT. Tidak pernah ada sebarang notis sebelum ini. Kami mencabar LTAWNT untuk membuktikan notis-notis yang dikatakan pernah dikeluarkan dan diserahkan kepada penyewa (peniaga) sebelum ini.
“… terdapat segelintir peniaga yang membantah tindakan tersebut (Utusan Malaysia)” Ini menunjukkan bahawa MB tidak baca surat yang dikirim dan ditandatangan oleh kesemua peniaga yang terlibat. Atau mereka yang menasihatkan MB cuba memberi gambaran yang salah. Dalam siri mesyuarat lanjutan termasuk majlis perjumpaan dengan MAMPAT pada 6 Ogos 2009, lebih 25 peniaga dan wakil mereka yang hadir. Dan dalam sesi perjumpaan seterusnya bersama peguam pada 11 Ogos, hampir 30 peniaga dan wakil mereka sepakat hadir untuk merayu agar pihak LTAWNT menangguh arahan 30 hari untuk berbincang semula suatu tempoh yang munasabah.
- “Tidak timbul soal kerajaan tidak realistik tentang pemberitahuan notis pengosongan yang didakwa peniaga lambat diberitahu. Masa yang diberikan kepada mereka telah mencukupi (Utusan Malaysia)” Sebagai seorang ketua pentadbir negeri dan juga pernah menjawat pelbagai jawatan dalam kerajaan, MB sewajarnya lebih faham apa yang dia maksudkan dengan masa yang mencukupi. Tempoh 30 hari (ditolak seminggu lewat menyerah notis) adalah jauh dari mencukupi. Beliau sepatutnya arif proses-proses untuk sesiapa sahaja melakukan sebarang perpindahan, baik premis pejabat mahupun jika kita hendak berpindah rumah. Pertamanya kita perlu mencari tapak yang baru – ianya bukan boleh dicari dalam sekelip mata. Sebagai peniaga, mereka perlu mencari kawasan yang sesuai dan strategic untuk perniagaan mereka. Mana-mana urusan penyewaan tidak dibuat dengan perbualan dan persetujuan dalam masa beberapa minit. Ianya perlu pelbagai perbincangan, disusuli dengan menandatangani perjanjian, dan pengesahan dengan memetarai setem duti kerajaaan. Selepas tapak baru disewa, peniaga perlu melakukan pengubahsuaian pada premis baru mereka. Sebutharga yang sesuai perlu diperolehi. Adalah mustahil bagi pada kontraktor untuk memberi sebutharga dalam masa satu hari. Selepas kontraktor dipilih, kontraktor itu sendiri memerlukan masa yang munasabah untuk melakukan kerja-kerja ubahsuainya. Selepas siap segala pengubahsuaian tersebut, peniaga memerlukan merancangkan perpindahan mereka, membungkus, memunggah dan mengemas dan menyusun semula di tempat baru tidak boleh dilakukan seperti tukang sihir memukau penontonnya. Bagi peniaga barangan emas, mereka tidak boleh sebarangan memindah barangan berharga tanpa menyediakan dan mengawasi aspek-aspek keselamatan.
Kemudian beliau berkata, “langkah itu juga penting agar pemandangan bangunan usang dan uzur tidak lagi kelihatan di bandar raya Kuala Terengganu (Utusan Malaysia)”. Kenyataan seperti ini menunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai fakta yang betul. Dan membuktikan beliau tidak pergi melihat sendiri apa yang dia katakan. Sebenarnya, deretan kedai Jalan Bandar adalah deretan bangunan lama yang paling terjaga dan kemas serta tegap dari mana-mana deretan bangunan lama di bandaraya Kuala Terengganu. Lihat gambar yang diambil oleh jurufoto Utusan ini (gambar diambil dari tingkat atas tempat letak kereta Pasar Payang). Bangunan batu yang kukuh ini adalah diselenggara dengan baik oleh para penyewa. Apakah ianya usang? Cuba bandingkan dengan deretan kedai yang akan dikekal di Jalan Kampung China ini. Mana yang sebenarnya usang?


