Feeds:
Posts
Comments

Archive for August 12th, 2009

KUALA TERENGGANU 11 Ogos – Pemandu teksi sekitar bandar raya ini meminta kerajaan negeri membina sebuah stesen teksi baru berdekatan Perhentian Bas Kuala Terengganu di sini bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan itu.

Ini kerana kemudahan stesen teksi sedia ada telah usang dan lokasinya agak terlindung daripada orang ramai menyukarkan pengunjung luar untuk melihat kewujudan stesen teksi yang terletak di tapak perhentian bas lama itu.

Beberapa orang pemandu teksi yang ditemui mengakui bahawa stesen teksi lama itu umpama ‘hidup segan mati tak mahu’ dengan strukturnya yang agak usang.

Seorang pemandu teksi, Mohd. Noor Abdullah, 76, yang ditemui berkata, pemandu teksi di sini telah beberapa kali bertukar lokasi stesen teksi.

Katanya, mereka tidak tahu mengapa stesen teksi berkenaan sering berubah lokasi.

“Seingat saya beberapa kali stesen teksi berpindah lokasi. Sebelum ini kami ditempatkan berhampiran Kedai Binjai kemudian berdekatan Pasar Raya Parkson namun disebabkan bangunan berkenaan terbiar kami dipindahkan pula di stesen bas lama ini.

“Justeru itu, bagi memudahkan stesen teksi ini dilihat, ia perlu dipindahkan atau dibina baru di kawasan strategik seperti berhadapan dengan Perhentian Bas Kuala Terengganu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di baru-baru ini.

Tambahnya, walaupun keadaan stesen bas lama tersebut selesa namun pemandangan persekitarannya tidak menarik kerana dikelilingi dengan bangunan usang.

Jelasnya, disebabkan kawasan tersebut tidak dicat baru dan diselenggara dengan baik menyebabkan stesen yang kini menempatkan perkhidmatan teksi itu kurang dikunjungi orang ramai.

Bagi Abu Bakar Abdullah, 68, dia berharap Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MBKT) dapat mengarahkan pemilik-pemilik bangunan di sekitar stesen teksi berkenaan menceriakan bangunan mereka.

Katanya, sekiranya stesen teksi berkenaan sahaja yang dicat namun bangunan di persekitarannya tidak berubah, ia tetap akan memberi imej yang buruk kepada stesen berkenaan.

“MBKT perlu memainkan peranan dalam usaha menceriakan semula stesen teksi ini termasuk bangunan-bangunan sekitarnya.

“Selain itu, pada masa sama, MBKT perlu melihat kawasan lain yang berpotensi untuk dijadikan stesen teksi baru,” jelasnya.

Read Full Post »