Feeds:
Posts
Comments

Archive for August 10th, 2009

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin dan Noor Aznida Alias

hanneeyzah@bharian.com.my

Kerajaan negeri bekal kemudahan air, elektrik percuma

KUALA TERENGGANU: Penduduk di Kampung Pantai Kuala Ibai di sini, kini boleh tersenyum gembira kerana penantian mereka untuk berpindah ke rumah baru yang lebih selamat dan selesa berakhir, selepas menjadi mangsa hakisan pantai dan air laut melimpah setiap kali musim tengkujuh sejak empat tahun lalu.

Seramai 96 penduduk yang rumah mereka rosak dipukul ombak ketika musim tengkujuh menerima seunit rumah berharga hampir RM40,000, manakala kemudahan elektrik dan air dibekalkan secara percuma oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata pemberian rumah berkenaan bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap masalah yang dihadapi penduduk, malah mereka turut diberi subsidi RM10,000 daripada nilai rumah serta hanya perlu membayar sewa beli rumah serendah RM120 sebulan.

Beliau berkata, rumah tiga bilik berkenaan adalah antara usaha kerajaan negeri menyediakan penempatan yang selesa untuk rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan dan layak menerima bantuan seperti mereka yang terbabit dalam bencana alam.

“Alhamdulillah, akhirnya kita dapat mengagihkan kunci rumah ini kepada mangsa ombak besar di Kampung Pantai Kuala Ibai ini. Pelbagai masalah yang kita lalui dalam proses menyiapkan penempatan ini dapat kita atasi akhirnya.

“Kita sedar banyak masalah yang berlaku di penempatan ini. Tanah di Kampung Tok Adis ini pada asalnya kita telah agihkan kepada orang lain, tetapi mereka tak buat rumah, kemudian kita ambil balik dan buat lot rumah. Sebab itu proses pembinaannya makan masa agak lama.

“Apabila siap pula, sebelum diagihkan ada juga masalah lain timbul. Ada rumah dipecah masuk pencuri yang mencuri wayar, kipas dan lampu. Tetapi kerajaan negeri baik hati, mana yang dicuri itu kita ganti sebelum kita serahkan kunci pada penduduk.

“Kebiasaannya kita beri rumah yang kosong dan penduduk perlu selesaikan sendiri urusan mendapatkan bekalan elektrik dan air, tetapi kita sedar ramai di kalangan penduduk di sini adalah golongan nelayan, jadi kerajaan negeri bersedia menampung kos ini untuk meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kunci rumah kepada 96 penduduk Kampung Pantai Kuala Ibai dalam satu majlis di sini, baru-baru ini. Hadir sama bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Che Mat Jusoh.

Ahmad berkata, walaupun isu penempatan penduduk Kampung Pantai Kuala Ibai itu menjadi mainan politik pembangkang yang memburukkan kerajaan, dengan keprihatinan dibuktikan kerajaan negeri terhadap keperluan penduduk kampung berkenaan, beliau berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan kata nista dilemparkan pembangkang.

“Saya kecewa terhadap segelintir rakyat kerana terlalu mudah terpengaruh dengan hasutan pembangkang. Saya lihat, rakyat mudah melatah dengan hasutan pembangkang yang sentiasa mencari helah untuk mempolitikkan isu tertentu, demi mewujudkan rasa tidak percaya dan yakin mereka terhadap kerajaan.

“Ini memang sikap pembangkang, namun yang jelas kerajaan tidak pernah menipu rakyat, tetapi rakyat yang menipu kerajaan sedangkan kita sentiasa menjaga kebajikan dan memikirkan cara meningkatkan taraf hidup mereka. Apa yang kita harapkan, mereka dapat membalas komitmen yang kita berikan dengan memberi undi kepada Barisan Nasional (BN),” katanya.

Sementara itu, penduduk Rohani Asnah, 39, berkata, dia bersyukur dengan rumah pemberian kerajaan negeri itu kerana dapat memberikan kehidupan lebih selesa untuk tiga anaknya yang sedang membesar.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kepada kerajaan negeri di atas pemberian ini. Selaku ibu tunggal yang hanya bekerja sebagai penyiang ikan dengan gaji yang kecil, ia banyak membantu saya. Apatah lagi, perbelanjaan untuk persekolahan mereka juga memerlukan wang yang banyak,” katanya.

Penduduk, Norfadilah Ismail, 34, berkata dia berharap dapat melupakan peristiwa sedih menimpanya apabila rumah dimusnahkan ombak dua tahun lalu dan dapat menjalani kehidupan lebih selesa bersama dua anaknya.

Bagi Noriati Abdullah, 33, dia amat bersyukur kerana impian untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai dan persekitarannya juga selesa untuk kehidupan mereka tiga beranak.

Dia berkata, sebelum ini dia bersama seorang lagi kakak sulungnya yang juga ibu tunggal terpaksa menumpang di rumah ibu mereka kerana tidak mempunyai pendapatan mencukupi bagi menyewa rumah lain.

“Sebelum ini kami tiga keluarga terpaksa hidup bersesak-sesak di bawah satu bumbung kerana pendapatan sebagai ibu tunggal tidak mencukupi untuk membayar sewa rumah, makan minum dan perbelanjaan sekolah anak-anak.

“Justeru saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin dan menganugerahkan rumah kepada saya, kakak dan ibu,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Faridah Mat Yusof, 45, berkata dia tidak pernah menyangka akan memiliki rumah sendiri memandangkan pendapatannya sebagai tukang cuci hanya sekitar RM380 sebulan.

“Walaupun bagi sesetengah orang, rumah ini hanya sekadar biasa saja, tetapi bagi kami empat beranak ia adalah rahmat dan selepas ini saya tidak perlu lagi resah memikirkan masa depan anak-anak kerana mereka sudah mempunyai tempat berteduh,” katanya.

Read Full Post »