SETIU 7 Ogos – Kira-kira 7,000 penduduk dari lapan buah kampung meminta kerajaan supaya membina sebuah pusat kesihatan kecil di Kampung Saujana di sini bagi kemudahan mereka mendapat rawatan kesihatan yang lebih baik.
Antara kampung terbabit ialah Gong Batu, Pengkalan Gelap, Kampung Fikri, Saujana, Padang Saujana, Guntong Dalam, Beris Tok Ku dan Kampung Permaisuri.
Para penduduk kampung berkata, buat masa ini mereka terpaksa mendapat rawatan kesihatan di Pusat Kesihatan Bandar Permaisuri yang terletak agak jauh dari kampung mereka.
Perkhidmatan rawatan ibu mengandung pula disediakan di Klinik Desa Kampung Fikri tetapi tidak dapat menampung jumlah penduduk semakin bertambah.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Saujana, Razali Alias berkata sekiranya kerajaan menyediakan pusat kesihatan itu sekarang mungkin masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung terbabit akan diatasi.
Menurutnya, pihaknya sebelum ini sudah memohon dengan pihak kerajaan untuk membina pusat kesihatan itu kira-kira lapan tahun lalu tetapi sehingga hari ini belum pasti lagi bila ia akan dilaksanakan.
”Kerajaan sewajarnya mempercepatkan pembinaan pusat ini bagi penduduk kampung sekitar kawasan ini mendapat perkhidmatan kesihatan yang lebih sempurna.
”Ini kan pula jumlah penduduk di Kampung Saujana sahaja sudah melebihi 2,000 orang,” katanya.
Pengerusi JKKK Padang Saujana, Mohamad Yunus pula memberitahu kawasan untuk membina sebuah pusat kesihatan itu yang terletak berhampiran dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana telah pun direzabkan oleh kerajaan sejak beberapa tahun lalu.
Namun, kata Mohamad, apa yang didapati sehingga sekarang tidak ada tanda-tanda lagi pusat kesihatan ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini.
”Jika pusat kesihatan itu ada, ia bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat malah sesuatu kes melibatkan kemalangan kecil dapat diatasi.
”Buat masa ini kita terpaksa mendapat rawatan bagi kes-kes seumpama itu di Hospital Setiu dan Pusat Kesihatan Bandar Permaisuri dengan jarak perjalanan antara 30 minit atau 40 minit dari kampung terbabit,” ujarnya.
Seorang suri rumah, Hirong Nisa Jusoh, 40, ketika ditemui berkata, Klinik Desa di Kampung Fikri yang ada sekarang sememangnya tidak dapat menampung untuk rawatan ibu mengandung di kawasan itu.
Dia berkata, jika pusat kesihatan itu dibina di Saujana kemungkinan masalah rawatan pesakit luar serta ibu mengandung dapat diatasi.
Ini kerana, katanya, para pesakit terbabit seperti dari Kampung Saujana tidak perlu mendapat rawatan lagi di Klinik Desa Kampung Fikri lagi.
Seorang penduduk, Hasan Ali, 52, berpendapat masalah itu bukan sahaja melibatkan penduduk Saujana sahaja malah penduduk kampung lain seperti Kampung Permaisuri, Guntung Luar dan Beris Tok Ku mendapat perkhidmatan yang terbaik di pusat itu.
Leave a Reply