KUALA TERENGGANU – Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) menyifatkan tindakan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) mengarahkan peniaga di Jalan Bandar dan Jalan Banggol mengosongkan premis perniagaan mereka dalam tempoh 30 hari sebagai tidak realistik dan tidak munasabah tanpa mengambil kira nilai kemanusiaan dan sejarah.
Pengerusi Mampat, Mohamad Fauzi Abu Samah berkata, sehubungan itu untuk membela nasib peniaga atas dasar kemanusiaan, pihaknya akan cuba memohon tempoh penangguhan daripada pihak berkenaan bagi memberi ruang kepada peniaga benar-benar bersedia berpindah kerana tempoh diberikan terlalu singkat.
“Apatah lagi notis yang dikeluarkan bertarikh 13 Julai hanya sampai ke tangan peniaga seminggu selepas itu, menyebabkan tempoh 30 hari yang diberikan semakin singkat dan kini tempoh berkenaan tinggal seminggu lagi.
“Kita juga akan berusaha memohon kerajaan supaya membangunkan kawasan lain bagi menggantikan kawasan yang diambil untuk dimajukan dengan pejabat dan rumah kedai,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan peniaga Jalan Bandar dan Jalan Banggol, semalam.
Hadir sama, Penasihat Mampat, Hussin Ismail dan Koordinator Badan Bertindak Peniaga Jalan Bandar dan Jalan Banggol, A Karim Omar.
Menurut Mohamad Fauzi, kerajaan juga dimohon supaya membuat pertimbangan wajar dan berlaku adil kepada peniaga dengan turut menyediakan peruntukan bagi kos perpindahan kepada mereka kerana setakat ini pampasan yang diberikan hanya berjumlah RM200,000 untuk nilaian tanah yang diambil tanpa mengambil kira nilaian bangunan yang sudah berusia lebih 100 tahun dan masih kukuh.
“Kita berharap pemimpin termasuk Menteri Besar dapat turun padang melihat dan merasai nasib 34 peniaga dan 200 pekerja yang bakal diberhentikan apabila bangunan ini dikosongkan nanti.
“Kita juga berharap masalah ini dapat diselesaikan sebelum Hari Raya Puasa. Sekiranya tiada tindakan diambil Menteri Besar sendiri, kita mungkin akan memanjangkan kes ini kepada pengetahuan Sultan selesaikan konflik ini,” katanya
Mohamad Fauzi berkata, Mampat dan peniaga tidak menolak pembangunan tetapi seboleh-bolehnya mahu bangunan berusia lebih 100 tahun itu yang mana sebahagian struktur binaannya dibuat menggunakan tanah liat tidak dihapuskan sebaliknya perlu dibaikpulih seperi di Melaka dan Kuala Lumpur di mana bangunan lama terus dipelihara sebagai khazanah negeri.
Sementara itu, peniaga turut mempersoalkan kenyataan LTAWNT yang menyatakan pihaknya sentiasa mengingatkan peniaga dari masa ke semasa mengenai notis perpindahan sedangkan mereka hanya mengetahui dikehendaki berpindah apabila mendapat notis bertarikh 13 Julai pada 19 Julai.
Peniaga alat penyaman udara, How Kok Kong, 65, berkata, dakwaan bahawa pihak LTAWNT mencadangkan beberapa kawasan kepada peniaga untuk berpindah tetapi peniaga lewat bertindak atau enggan berpindah juga tidak benar kerana peniaga sebelum ini tidak pernah ditawarkan berpindah ke mana-mana tempat.
Pengurus Pengedar Buku Alam Akademik, Asmahan Ahmad, 45, pula melahirkan kebimbangan bangunan itu akan menjadi sarang penagih dadah sekiranya dikosongkan kerana kerja-kerja pembangunan belum tentu akan diadakan dalam waktu terdekat kerana belum mendapat kelulusan daripada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
“Kita bimbang bangunan kosong ini akan menjadi sarang masalah sosial nanti,” katanya.
Dalam pada itu, peniaga kedai emas, Najah Yasin, 44, memohon tempoh perpindahan itu dilanjutkan sekurang-kurangnya setahun kerana rata-rata peniaga memerlukan masa untuk mencari lokasi baru.
“Saya berniaga emas dan sekiranya dalam tempoh sesingkat ini dikehendaki berpindah ke mana saya hendak berpindah. Apatah lagi saya perlu utamakan aspek keselamatan sewaktu berpindah nanti,” katanya.
Read Full Post »