KUALA TERENGGANU 5 Ogos – Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membiayai pelbagai program di masjid dan surau di negeri ini sepanjang bulan Ramadan yang bakal tiba.
Peruntukan tersebut disediakan bagi membolehkan lebih banyak program berkaitan diatur bagi mengimarahkan Ramadan.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pihaknya meluluskan peruntukan tersebut bagi membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membolehkan program dilaksanakan.
Katanya, walaupun peruntukan diberi namun ahli jawatankuasa masjid dan surau janganlah semata-mata bergantung kepada sumbangan yang dihulurkan.
”Belanjalah duit tabung yang sememangnya ada di samping berusaha meningkatkan lagi tabungan masing- masing,” katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa melancarkan Program Ihya’Ramadan Peringkat Negeri di Dewan Al- Muktafibillah Shah, Universiti Darul Iman, Kampus Kusza di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokthar Nong, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan dan lebih 5,000 penduduk setempat.
Ahmad menambah, Terengganu sebenarnya negeri pertama merintis pelaksanaan penyelarasan dan pelancaran Ihya’Ramadhan Peringkat Negeri setelah dimulakan sejak tahun 2006.