Feeds:
Posts
Comments

Archive for August 5th, 2009

SETIU 4 Ogos (Utusan Malaysia)- Lebih 1,000 penduduk dari pelbagai lapisan masyarakat menghadiri Program Gerak Gempur Dadah (Gempadah) peringkat daerah Setiu 2009 di Sekolah Kebangsaan Saujana di sini semalam.

Program anjuran bersama Agensi Anti Dadah kebangsaan (AADK) daerah Setiu dan Komuniti Bestari Mukim Pantai itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Permaisuri, Abdul Halim Jusoh.

Ketua pegawai AADK Setiu, Che Umar Abdul Rahman memberitahu, program tersebut dianjurkan bagi menggerakkan masyarakat setempat supaya bertindak memerangi gejala ancaman dadah di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, sempena dengan program yang diadakan selama dua hari pihaknya menyediakan pelbagai aktiviti kepada masyarakat di sekitar kampung itu.

”Antara aktiviti itu termasuk forum perdana, gotong-royong, senaman, kempen anti dadah, pameran agensi kerajaan, sukaneka dan pertandingan mewarna,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Che Umar berkata, program itu dapat memberi pendedahan awal kepada mereka supaya tidak mudah terbabit dalam kegiatan tidak bermoral seperti penyalahgunaan dadah.

Advertisement

Read Full Post »

HULU TERENGGANU 4 Ogos (Bernama) – Kolej Islam, Sains dan Teknoklogi (Kist) akan melabur sebanyak RM50 juta bagi membina sebuah kompleks pendidikannya tidak lama lagi.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Kist, Zulkifli Abdullah berkata kompleks setinggi 11 tingkat itu apabila siap kelak mampu menampung sehingga 6,000 pelajar pada satu masa.

”Tapak kompleks itu merupakan kawasan projek perumahan terbengkalai Tenaga Nasional Berhad seluas kira-kira 30 hektar yang kita beli dua tahun lepas dengan kos RM17 juta.

”Kist akan mengorak setapak lagi bagi membina kompleks pendidikan yang akan menjadi mercu tanda bandar Kuala Berang pada masa depan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata Kist kini beroperasi di kawasan projek terbengkalai itu yang lengkap daripada segi infrastruktur seperti banglo 49 unit serta kemudahan jalan raya, bekalan air dan elektrik, surau, bangunan pentadbiran dan sebuah dewan.

Zulkifli berkata, kemudahan yang ada itu berjaya menarik minat 300 pelajar dari seluruh negara untuk mengikuti empat program di Kist iaitu Diploma Sains Kesihatan Persekitaran, Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, Diploma Sains Senaman dan Sukan serta Diploma Psikologi.

Beliau berkata empat program itu yang mendapat kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi, merupakan bidang yang mempunyai peluang kerjaya yang cerah sama ada di sektor awam mahu pun swasta.

Dalam usaha menjadikan Kist sebuah kolej universiti, Zulkifli berkata Kist akan membangunkan beberapa kemudahan dalam tempoh terdekat di kawasan seluas lima hektar yang akan menempatkan asrama, pangsapuri untuk kakitangan serta ruang perniagaan.

Katanya Kist cawangan Terengganu itu akan menambah program pengajian peringkat diploma dan sijil pada masa depan dengan membuat empat pengambilan pelajar setahun.

“Selain memberi penerangan kepada hampir 90 peratus pelajar Tingkatan lima dan enam di seluruh Terengganu mengenai Kist, kita juga mengadakan pameran,” katanya.

– Bernama

Read Full Post »

Aksi penerjun tarik minat orang ramai

MOHD. Idros Yusop melakukan latihan terjun dari bangunan hotel Felda Residence Resort, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 4 Ogos (Utusan Malaysia) – Aksi dua peserta payung terjun yang berdiri di tingkat 19 sebuah hotel di Felda Residence sebelum terjun, menarik perhatian orang ramai hari ini.

Mereka begitu berminat untuk melihat aksi itu sebaik sahaja ternampak kedua-dua lelaki berkenaan berdiri di atas bumbung hotel itu kira-kira pukul 10 pagi ini.

Terjunan yang dilakukan dua lelaki itu adalah sebahagian daripada latihan dan pemeriksaan lokasi menjelang acara ‘KL Tower International Jump Malaysia 2009’ yang akan bermula pada 4 Oktober depan.

Dua penerjun yang tebabit dalam latihan itu ialah Presiden Persekutuan Payung Terjun Malaysia, A. Aziz Ahmad dan Eksekutif Perhubungan Awam Menara Kuala Lumpur, Mohd. Idros Mohd. Yusop.

Mohd. Idros ketika ditemui berkata, mereka memilih Felda Residence kerana ia merupakan bangunan kedua tertinggi di negeri ini iaitu 105.8 meter selepas Wisma Darul Iman.

“Acara tersebut sesuai dijalankan di sini dengan pelaksanaan kawalan keselamatan secukupnya untuk mengelak perkara yang tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata, angin yang merupakan faktor utama di kawasan terjunan itu juga dijangka tidak mendatangkan masalah.

Katanya, selain Felda Residence, Kompleks Teruntum, Pahang; Menara Taming Sari, Melaka; Menara Alor Star; Menara Komtar, Pulau Pinang dan Menara Kuala Lumpur turut menganjurkan acara berkenaan.

Acara ini, katanya, akan bermula di Pahang pada 4 Oktober ini diikuti Terengganu (7 Oktober) dan berakhir di Menara Kuala Lumpur pada 22 Oktober.

Read Full Post »