KUALA TERENGGANU 3 Ogos (Utusan Malaysia) – Umat Islam dinasihat melupuskan al-Quran dan bahan berkaitan berdasarkan peraturan yang ditetapkan bagi memelihara kesucian kitab tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat berkata, al-Quran yang sudah usang tidak boleh dibuang sewenang-wenangnya bagi mengelak daripada diseleweng.
Justeru beliau menggalakkan orang ramai supaya menghantar naskhah-naskhah al-Quran tersebut kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dilupuskan dengan cara yang betul.
“Al-Quran atau bahan bacaan yang mengandungi ayat suci kitab ini perlu dibakar secara menyeluruh tanpa tertinggal mana-mana bahagian yang tidak terbakar.
“Abu yang mengandungi ayat-ayat suci itu pula perlu dikumpul supaya tidak ditiup angin atau bersepah dan kemudian dihanyutkan ke sungai atau laut, kita (umat Islam) tak boleh pandang remeh perkara ini memandang ia merupakan kitab suci umat Islam.
“Justeru itu, bagi memastikan proses pelupusan dilakukan dengan cara betul, masyarakat Islam diminta menghantar kitab lama itu kepada KDN kerana mereka mempunyai kemudahan untuk proses pelupusan tersebut secara percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Etika Penjualan Teks dan Al-Quran dan Bahan-Bahan Berunsurkan Islam anjuran bersama KDN dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu di Batu Buruk Beach Resort di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengarah Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Negeri Terengganu, Khairil Zuhdi Khairuddin.
Dalam pada itu, Khazan berkata, tindakan kerajaan negeri mengawal penjualan, percetakan dan pengeluaran teks al-Quran dan bahan-bahan yang mengandungi isi kandungan kitab suci berkenaan adalah wajar.
Ujarnya, ia perlu bagi mengelakkan bahan-bahan tersebut dijual tanpa pemantauan sehingga memudahkan berlaku penyelewengan.
“Pada zahirnya ia nampak seperti kerajaan negeri ingin menyusahkan peniaga yang menjalankan perniagaan tersebut namun ia merupakan langkah untuk mengelakkan bahan-bahan tersebut disalah guna dan diseleweng.
“Semua teks al-Quran yang ingin dicetak, diterbit dan dijual perlu mendapat Perakuan Betul Pruf Akhir Teks Al-Quran dari Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran KDN terlebih dahulu.
“Bagi mana-mana individu atau syarikat yang ingin mencetak dan menerbit teks al-Quran mesti mendapatkan lesen yang dikeluarkan di bawah Seksyen 5 Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Akta 326),” jelasnya.
Leave a Reply