Oleh Nurul Mardiana Abdul Alim
bhkt@bharian.com.my
Pakej perahu susur sungai dedah budaya hidup penduduk
KUALA TERENGGANU: Sejak Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man di sini, dibuka kepada pengunjung bermula Februari tahun lalu, lebih 2.3 juta pelawat mengunjunginya, termasuk 400,000 pelancong asing yang melawat Taman Monumen, menempatkan lebih 20 replika seni bina Islam terulung di dunia.
Jika dilihat kepada perangkaan pelancong yang mengunjungi TTI, ia boleh dianggap satu pencapaian membanggakan. Namun, itu bukan alasan untuk pihak pengurusan TTI berpuas hati atau goyang kaki, sebaliknya pelbagai inisiatif dan tarikan baru ditawarkan di TTI dalam usaha menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara.
Selain bersandarkan kepada keunikan Masjid Kristal dan Taman Monumen yang tersohor, terbaru pihak pengurusan TTI memperkenalkan beberapa tarikan yang diyakini dapat menggamit lebih ramai pengunjung ke taman berciri Islam pertama seumpamanya di negara ini
Kunjungan ke TTI pasti lebih menarik dan meriah apabila pelancong berpeluang merasai pengalaman menyusuri Sungai Terengganu dan menikmati keindahan serta kedamaian alam semula jadi menerusi daya tarikan baru yang dikenali sebagai ‘TTI River Cruise’.
Pengarah Urusan TTI, Engku Md Azmi Abdul Rahman, berkata perkhidmatan menyusur sungai yang diperkenalkan TTI diharap dapat memberi peluang kepada pengunjung untuk mencuba dan merasai sendiri pengalaman menyusuri sungai menaiki perahu tradisional yang menjadi kebanggaan rakyat negeri itu.
n nelayan serta mengetahui cara pembuatan makanan tradisi negeri yang popular seperti nasi dagang dan keropok lekor yang kita ketengahkan.
“Keunikan TTI ‘river cruise’ adalah kerana kedua-dua perahu yang membawa pelancong menyusur sungai selama lebih setengah jam adalah bot tradisional yang digunakan oleh nelayan di negeri ini untuk menangkap ikan di laut dan sungai,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Katanya, perjalanan menyusuri Sungai Terengganu sepanjang 2.5 kilometer bermula di Jeti Tok Ku Paloh berhampiran Masjid Kristal dan pelancong kemudian dibawa melalui 14 tempat menarik antaranya Muzium Negeri, Pulau Sekati, Seberang Takir, Pulau Duyung, Bazar Warisan, Pasar Besar Kedai Payang, Kampung Cina dan Pengkalan Keropok Lekor Losong. Beliau berkata, sehingga kini TTI menyediakan tiga buah perahu payang yang boleh memuatkan 12 penumpang, selain dua buah perahu kolek yang boleh membawa enam penumpang menyusuri Sungai Terengganu dan jumlah perahu akan ditambah dalam masa terdekat berikutan sambutan sangat menggalakkan.
“Bayaran yang dikenakan untuk perkhidmatan ini sangat munasabah iaiatu RM10 seorang dan pelancong akan diberikan sebotol air mineral serta perlindungan insurans sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini sepanjang pengunjung dibawa menyusuri Sungai Terengganu.
“Pengunjung juga boleh memilih untuk menggunakan perahu payang atau perahu kolek untuk menyusuri sungai dan untuk memudahkan lagi pengunjung serta memberi mereka lebih penjelasan mengenai TTI, mereka akan ditemani dua krew yang bertindak sebagai jurumudi dan pemandu pelancong.
“Memandangkan TTI semakin dikunjungi ramai pelancong, pihak kami akan memperkembangkan lagi aktiviti menyusur sungai dengan menyediakan bot berkapasiti 60 orang yang turut dilengkapi pakej makan malam atau jamuan sambil menyusuri Sungai Terengganu. Bagi mereka yang ingin menginap di sini, kita juga menyediakan empat unit rumah tetamu yang cantik dan selesa,” katanya.
Engku Md Azmi berkata, selain menyusur sungai, TTI turut menyediakan perkhidmatan 18 bot kayuh dan tiga kanu di Taman Pahlawan dengan kadar RM10 bagi setiap sewaan dan setakat ini aktiviti itu sangat digemari pelancong.