KUALA TERENGGANU 2 Ogos (Utusan Malaysia)- Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu (JKSNT) memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam usahanya mengembalikan imej bersih jabatan tersebut khususnya di kalangan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu, Khazan Che Mat berkata, terdapat segelintir masyarakat yang memandang negatif kepada jabatan tersebut terutamanya dari segi tempoh proses keadilan yang sering lewat diselesaikan.
Menerusi pelaksanaan KPI, beliau yakin usaha menyelesaikan proses keadilan akan berjalan dalam jangka waktu yang telah ditetapkan.
“JKSNT mengambil langkah awal untuk melaksanakan KPI dalam memberi imej yang baik kepada masyarakat terhadap jabatan agama.
“Sehubungan itu, saya berharap jabatan-jabatan agama lain akan mencontohi jabatan ini dalam memenuhi tuntutan masyarakat apabila berurusan dengan jabatan agama,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan pelancaran Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2008 dan pelaksanaan KPI di Primula Beach Resort, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut seramai 23 peserta Kursus Pengurusan Mediasi telah menerima sijil tamat kursus masing.
Kursus selama empat hari itu dianjurkan oleh sebuah kolej dari Australia.
Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya berkata, JKSNT akan memantapkan kemahiran Pegawai Perunding mereka melalui penyertaan Kursus Mediasi yang diadakan baru-baru ini.
Ujarnya, melalui kursus tersebut peserta-peserta didedahkan dengan kemahiran berunding bagi membolehkan pertikaian anak guam mereka diselesaikan secara damai (sulh) menerusi mediasi terlebih dahulu sebelum kes dibawa ke hadapan pengadilan untuk proses perbicaraan.
“Walaupun kursus ini dianjurkan oleh negara luar namun kita percaya bahawa mereka sangat pakar di dalam pengurusan mediasi yang bakal membantu pegawai-pegawai dalam menyelesaikan masalah anak guam mereka.
“Kursus mediasi ini amat penting untuk didedahkan kepada pegawai-pegawai tersebut bagi membolehkan mereka bijak mengendalikan sebarang bentuk kes yang diterima,” jelasnya.

Leave a Reply