Feeds:
Posts
Comments

Archive for August 3rd, 2009

17 rumah rosak dipukul ribut, dihempap pokok

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Lebih 17 rumah penduduk lima kampung di Bukit Tunggal di sini, rosak dipukul ribut dan dihempap pokok tumbang selepas hujan lebat dan angin kencang malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, menyebabkan atap rumah penduduk di lima kampung berkenaan pecah dan tercabut akibat diterbangkan ribut, malah sebahagian rumah penduduk turut rosak dihempap pokok tumbang.

Seorang penduduk Kampung Gong Sentul, Mohamad Awang, 68, berkata beliau sedang mengambil wuduk untuk solat Maghrib sebelum terkejut sebaik mendengar bunyi dentuman yang kuat dari bahagian depan rumah.

Katanya, beliau bergegas ke anjung rumah dan terkejut melihat pokok melinjau di depan rumahnya tumbang dan meranapkan atap serta sebahagian besar ruang depan kediamannya.

“Ketika kejadian, semua ahli keluarga termasuk isteri, Zawiah Mamat, 64, dan dua anak berada di dalam rumah. Saya tergamam seketika melihat pokok melinjau berusia lebih 20 tahun tumbang. Akibat kejadian itu, beberapa keping atap turut pecah menyebabkan air hujan masuk ke dalam rumah.

“Saya terpaksa memotong pokok yang tumbang dalam hujan lebat. Walaupun sebahagian struktur rumah rosak dan ranap, saya bersyukur kerana tiada ahli keluarga yang tercedera ketika kejadian itu berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Seorang lagi mangsa di kampung itu, Lijah Embong, 55, berkata, beliau terkejut melihat atap rumahnya tiba-tiba tercabut dan diterbangkan ribut ketika hendak solat Maghrib.

“Rumah saya banjir kerana dimasuki air hujan selepas 18 keping atapnya tercabut. Kejadian mengejutkan ini pertama kali berlaku di sini. Saya tidak menyangka hujan lebat dan angin kencang sejak lewat petang semalam menyebabkan rumah saya rosak,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Ismail Nik, berkata beliau sudah menerima laporan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mengenai kejadian menimpa penduduk di lima kampung berkenaan semalam.

Katanya, semua penduduk yang terbabit dalam kejadian itu akan diberi bantuan segera termasuk menggantikan atap rumah yang rosak serta peralatan membaiki struktur rumah yang ranap secara percuma.

“Kita simpati dengan apa yang menimpa mereka dan bantuan bencana akan diberikan segera tanpa mengira fahaman politik mereka. Kita akan pastikan kesulitan dihadapi semua penduduk ini diatasi segera, ” katanya.

Advertisement

Read Full Post »

State rep, friend held over kickback

KUALA LUMPUR (NST): A Barisan Nasional assemblyman was arrested for alleged graft while having breakfast at a hotel in Terengganu yesterday.

The Malaysian Anti-Corruption Commission nabbed the 42-year-old assemblyman and his 45-year-old friend at the hotel in Kijal at 9.20am.

It was alleged they had asked a company executive to meet them at the hotel to discuss a monthly kickback amounting to 13 per cent of the contract given to the company for 24 months.

Some RM30,000 is believed to have changed hands so far.

Both had been remanded to assist in the MACC’s investigation. Attempts to contact theassemblyman were futile.
When the New Straits Times called his home in Kemasik, his sister said that he had returned home at noon but left later.

She said she had not heard from him since.

However, MACC sources said the assemblyman and the other man were taken to its headquarters in Putrajaya straight from the hotel.

He confirmed that they were arrested by MACC officers from its headquarters and not from the Terengganu branch.

The source said the MACC could detain the assemblyman for 48 hours, after which it would have to apply for a remand order for further detention of a maximum of 14 days.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said said the state government would not interfere in the investigation.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Harian Metro): Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) semalam menahan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu bersama seorang rakannya di restoran sebuah hotel di Kijal, Kemaman.

Penahanan itu dibuat bagi membolehkan agensi penguat kuasa itu mengambil keterangannya berhubung dakwaan meminta habuan daripada sebuah syarikat swasta.

Adun yang juga timbalan Exco kerajaan negeri berusia 42 tahun itu ditahan bersama seorang lelaki berusia 45 tahun kira-kira jam 9.30 pagi, semalam.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 2 Ogos (Bernama) – Kerajaan Terengganu diminta supaya memulakan segera pembinaan jambatan yang menghubungkan Kampung Teluk Pasu-Pulau Sekati-Losong bagi mengurangkan kesesakan lalu-lintas di Jambatan Sultan Mahmud di sini.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, meskipun kerajaan mengumumkan pembinaan jambatan itu sejak empat tahun lepas, namun sehingga kini jambatan itu belum menjadi kenyataan.

“Kita sudah tiga empat tahun bercakap mengenai pembinaan jambatan itu yang sepatutnya siap pada 2010 kerana kapasiti Jambatan Sultan Mahmud hanya mampu menampung maksimum kenderaan setakat 2010,” katanya di sini semalam.

Mohd. Nasir berkata, pembinaan jambatan itu sangat perlu kepada penduduk di kawasan-kawasan berkenaan kerana di Kuala Nerus, terdapat beberapa kepentingan awam seperti lapangan terbang, kompleks sukan dan pusat pengajian tinggi.

“Sehubungan itu, kita juga mencadangkan agar kerajaan membina sebuah lagi jambatan yang akan menghubungkan antara Seberang Takir dan Bandar Kuala Terengganu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, jika jambatan baru tidak dibina, kesesakan teruk akan berlaku apabila berlaku kemalangan di jambatan sedia ada. – BERNAMA

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 2 Ogos (Utusan Malaysia)- Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu (JKSNT) memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam usahanya mengembalikan imej bersih jabatan tersebut khususnya di kalangan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu, Khazan Che Mat berkata, terdapat segelintir masyarakat yang memandang negatif kepada jabatan tersebut terutamanya dari segi tempoh proses keadilan yang sering lewat diselesaikan.

Menerusi pelaksanaan KPI, beliau yakin usaha menyelesaikan proses keadilan akan berjalan dalam jangka waktu yang telah ditetapkan.

“JKSNT mengambil langkah awal untuk melaksanakan KPI dalam memberi imej yang baik kepada masyarakat terhadap jabatan agama.

“Sehubungan itu, saya berharap jabatan-jabatan agama lain akan mencontohi jabatan ini dalam memenuhi tuntutan masyarakat apabila berurusan dengan jabatan agama,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan pelancaran Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2008 dan pelaksanaan KPI di Primula Beach Resort, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut seramai 23 peserta Kursus Pengurusan Mediasi telah menerima sijil tamat kursus masing.

Kursus selama empat hari itu dianjurkan oleh sebuah kolej dari Australia.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya berkata, JKSNT akan memantapkan kemahiran Pegawai Perunding mereka melalui penyertaan Kursus Mediasi yang diadakan baru-baru ini.

Ujarnya, melalui kursus tersebut peserta-peserta didedahkan dengan kemahiran berunding bagi membolehkan pertikaian anak guam mereka diselesaikan secara damai (sulh) menerusi mediasi terlebih dahulu sebelum kes dibawa ke hadapan pengadilan untuk proses perbicaraan.

“Walaupun kursus ini dianjurkan oleh negara luar namun kita percaya bahawa mereka sangat pakar di dalam pengurusan mediasi yang bakal membantu pegawai-pegawai dalam menyelesaikan masalah anak guam mereka.

“Kursus mediasi ini amat penting untuk didedahkan kepada pegawai-pegawai tersebut bagi membolehkan mereka bijak mengendalikan sebarang bentuk kes yang diterima,” jelasnya.

Read Full Post »

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

utusanterengganu@utusan.com.my

Hentian bas lama dengan cat yang sudah lusuh kini digunakan oleh pengusaha teksi sebagai terminal di Bandaraya Kuala Terengganu.


KUALA TERENGGANU 2 Ogos – Kuala Terengganu kini mula berubah wajah sejak dinaik taraf menjadi Bandaraya Warisan Pesisir Air.

Namun senario itu dikhuatiri umpama ‘indah khabar dari rupa’ memandangkan suasana bandar raya tersebut masih dibayangi banyak bangunan usang sehingga mencacatkan pemandangan.

Malah lebih menyakitkan mata, bangunan-bangunan usang itu seolah-olah tidak dihiraukan pihak berkuasa tempatan dengan cat yang sudah lusuh dan premisnya pula tidak diselenggara dengan baik.

Tinjauan Utusan Malaysia ke sekitar Bandaraya Kuala Terengganu mendapati masih wujud beberapa buah bangunan usang di sekitar bandar berkenaan.

Misalnya, sebuah panggung wayang lama berdekatan Perhentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang terbiar sejak lebih 10 tahun lalu.

Difahamkan, panggung wayang Rex itu menjadi pusat tumpuan ramai suatu ketika dahulu namun entah mengapa ia dibiarkan begitu sahaja, walaupun pernah dijadikan premis jualan barangan plastik.

Sebaik-baiknya, di samping mengekalkan bangunan panggung wayang lama itu sebagai warisan, biarlah ia diselenggara dengan baik dan dibaik pulih semula, bukan seperti sekarang umpama rumah hantu.

Seorang pengusaha restoran, Mohd. Faizal Abdul Rahman, 28, ketika ditemui berkata, bangunan tersebut ditutup dan dibiar usang sejak 10 tahun lalu.

“Selama panggung wayang ini ditutup, tiada sebarang aktiviti yang dibenarkan dijalankan di bangunan berkenaan.

“Namun beberapa tahun kemudian sebuah pasar raya telah dibuka di dalam bangunan tersebut namun tidak bertahan lama sebelum ditutup,” katanya.

Pandangannya disokong oleh Azman Mohd., 43, yang mengakui terdapat banyak bangunan lain di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu yang kelihatan usang namun banyak yang telah dibaik pulih dan ditukar menjadi premis perniagaan.

“Setahu saya terdapat empat buah panggung wayang di bandar ini, tapi hanya dua yang masih ada dan salah sebuah daripada panggung tersebut telah dijadikan pusat perniagaan.

“Cuma tinggal panggung ini sahaja yang masih kekal di sini dan ia juga tidak kelihatan usang sangat memandangkan wujudnya sebuah kedai makan, pusat siber dan pusat karaoke di bangunan ini dan kalau tak silap, bangunan ini juga sepi,” jelasnya.

Bagi Nor Amna Rashid, 25, yang berasal dari Melaka pula menggesa MBKT bertindak segera untuk mengembalikan keindahan bangunan usang itu agar ia tidak memberi imej buruk kepada pelancong.

Tambahnya, Terengganu perlu mencontohi negeri Melaka dalam mengekalkan keindahan bangunan lama sekiranya mereka berhajat berbuat demikian.

“Kebanyakan bangunan di sini masih ada nilai sejarahnya namun jika dibiar pokok liar tumbuh di bangunan itu, ia bukan saja kelihatan buruk malah mengundang imej negatif.

“Justeru, MBKT perlu membuat keputusan sama ada mengekalkan bangunan tersebut dengan menceriakannya atau merobohkan bangunan usang dan menggantikannya dengan bangunan baru,” jelasnya.

Read Full Post »