SETIU 31 Julai (Utusan Malaysia) – Kadar jenayah di daerah ini menurun sebanyak 29.8 peratus dalam enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Supritendan Shaikh Othman Abd. Hamid berkata, kejayaan itu berikutan peningkatan penguatkuasaan di kawasan sering berlaku jenayah.
Katanya, selain itu, kerjasama antara masyarakat dan polis turut menyumbang kepada kejayaan tersebut.
“Kegiatan pecah rumah dan curi motosikal merupakan dua jenayah tertinggi di daerah ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu baru di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Dalam Negeri, Wan Zakaria Wan Awang.
Shaikh Othman berkata, kira-kira 160 pegawai dan anggota IPD serta Balai Polis Permaisuri dijangka berpindah ke kompleks baru itu dalam tempoh terdekat ini.
Katanya, mereka akan berpindah masuk ke kompleks itu sebaik menerima Sijil Layak Menduduki (CF).
Leave a Reply