Feeds:
Posts
Comments

Archive for August 1st, 2009


KOLAM ternakan udang yang akan dibina di Sungai Penarik, Setiu, dibantah nelayan kerana bimbang pendapatan terjejas.

PERMAISURI: Nelayan di sekitar Penarik dan Sungai Chaluk di sini bimbang pelaksanaan Projek Ternakan Udang Bersepadu seluas 1,000 hektar di sini akan memberi kesan kepada alam sekitar hingga menjejaskan sumber pendapatan mereka pada masa depan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Darat Kampung Beris Tok ku, Malik Yunus, berkata nelayan dan penduduk tidak membantah projek pembangunan, tetapi berharap kerajaan mengkaji semula kaedah pelaksanaan bagi memastikan kolam ternakan udang berimpak tinggi (HIP) itu tidak menjejaskan hasil pendapatan nelayan.

“Kami tidak menghalang projek ini kerana memberi banyak manfaat kepada masyarakat tempatan seperti peluang pekerjaan.

“Bagaimanapun kami tidak berpuas hati dengan kaedah pelaksanaan projek terutama berhubung kaedah penyaluran keluar air masin dari kolam ternakan yang tidak diuruskan dengan baik boleh mengakibatkan perubahan terhadap air sungai sekali gus mengubah ekosistem sungai di situ.

“Kami bimbang jika perkara ini berlaku, masa depan kami pasti kelam kerana tidak memiliki kemahiran lain selain menangkap ikan,” katanya ketika ditemui di Kampung Penarek, semalam.

Mengulas lanjut, Malik yang mewakili 45 ahli persatuan berkenaan berkata, ketika cadangan pembukaan kolam itu diumumkan penduduk gembira kerana ia akan menyediakan peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, katanya, selepas mendapati projek berkenaan akan menyebabkan kesan negatif dalam jangka panjang seperti pencemaran daripada sisa buangan dan menjejaskan ekosistem sungai, mereka resah apabila memikirkan sumber rezeki dan masa depan keluarga yang akan terjejas disebabkan pelaksanaan projek terbabit.

Projek Ternakan Udang Bersepadu seluas 1,000 hektar yang dimajukan oleh Blue Archipelago Bhd, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd adalah antara projek berimpak tinggi yang dikenal pasti dalam pakej rangsangan kedua dan dilaksanakan kerajaan Pusat bagi melonjakkan ekonomi di kawasan Penarik, Setiu.

Read Full Post »

SETIU 31 Julai (Utusan Malaysia) – Kadar jenayah di daerah ini menurun sebanyak 29.8 peratus dalam enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Supritendan Shaikh Othman Abd. Hamid berkata, kejayaan itu berikutan peningkatan penguatkuasaan di kawasan sering berlaku jenayah.

Katanya, selain itu, kerjasama antara masyarakat dan polis turut menyumbang kepada kejayaan tersebut.

“Kegiatan pecah rumah dan curi motosikal merupakan dua jenayah tertinggi di daerah ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu baru di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Dalam Negeri, Wan Zakaria Wan Awang.

Shaikh Othman berkata, kira-kira 160 pegawai dan anggota IPD serta Balai Polis Permaisuri dijangka berpindah ke kompleks baru itu dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, mereka akan berpindah masuk ke kompleks itu sebaik menerima Sijil Layak Menduduki (CF).

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 31 Julai (Utusan Malaysia) – Persatuan Kuari Malaysia Cawangan Terengganu mahu kerajaan negeri bertindak terhadap syarikat-syarikat kuari yang tidak berlesen kerana ia boleh menjejaskan industri tersebut.

Pengerusinya, Charlie Chow Toy Ing berkata, tindakan itu penting kerana banyak syarikat kuari berlesen terjejas dan langkah tertentu perlu diambil untuk memastikan industri kuari di negeri ini dijalankan secara sah.

”Pihak persatuan telah memaklumkan masalah tersebut kepada kerajaan negeri dan difahamkan ada yang telah diambil tindakan, tetapi masih ada yang menjalankan kegiatan itu,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Menurutnya, ketika ini terdapat 13 syarikat kuari yang berdaftar dengan Persatuan Kuari Malaysia Cawangan Terengganu sejak ia ditubuhkan pada 14 Oktober 2004.

Beliau berkata, secara umumnya kuari menjalankan kerja-kerja meletup batu granit, menghancurkan batu dan menggredkan batu mengikut saiz tertentu dan proses membuat ‘premix’ bagi sesetengah kuari.

Katanya, persatuan juga mahu kerajaan negeri meluluskan keluasan projek kuari sekurang-kurangnya 20 hektar kerana pada masa ini kelulusan kawasan projek agak kecil.

Selain itu, katanya, persatuan juga mahu tempoh lesen untuk industri kuari dipanjangkan iaitu 30 tahun berbanding dua tahun sekarang ini kerana kosnya yang besar dan memerlukan pinjaman.

”Tempoh lesen yang pendek itu sudah tentu menyukarkan syarikat kuari untuk meyakinkan institusi kewangan mengenai kemampuan sesuatu projek,” tambahnya.

Read Full Post »