KUALA TERENGGANU 28 Julai (Utusan Malaysia)- Kerajaan negeri akan meneruskan pelaksanaan penggunaan buku elektronik (e-Book) pada tahun depan meskipun ia disalahgunakan oleh segelintir murid baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, langkah itu perlu kerana penggunaan e-Book bukan sahaja membantu meningkatkan pendidikan bahkan membawa kebaikan kepada sektor ekonomi negeri.
”Rancangan penggunaan e-Book sejak dari mula menerima tafsiran salah dan pelbagai tohmahan dilemparkan termasuk menyatakan ia membazir.
”Sepatutnya semua pihak perlu memberi sokongan kerana perkara ini tidak mudah dibuat selain memberikan faedah yang besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Motivasi Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 di Dewan Sekolah Menengah Kompleks Seberang Takir di sini semalam.
Jumaat lalu, kegiatan sekumpulan murid tahun lima di sebuah sekolah di Gong Badak yang memuat turun video dan gambar porno pada e-Book mereka terdedah apabila ia dikesan oleh pihak sekolah.
Ahmad Razif berkata, penggunaan e-Book di sekolah telah membuka banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.
”Pada masa akan datang, lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan di kilang pemasangan dan sekolah-sekolah apabila e-Book dilaksanakan secara menyeluruh.
”Kita juga akan membuka kios-kios untuk membaiki komputer di sekitar bandar di negeri ini bagi memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang ini,” ujarnya.
[…] Program e-Book Terengganu tetap diteruskan tahun depan […]