KUALA TERENGGANU, 5 Julai (Bernama) — Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Terengganu (Perkaya) mensasarkan 200 anak yatim di negeri ini memperoleh diploma dan ijazah dalam tempoh lima tahun akan datang.
Yang Dipertuanya Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor berkata pada masa ini, Perkaya sedang memberi tumpuan kepada aktiviti yang mampu merangsang minda anak-anak yatim bagi memastikan matlamat itu tercapai.
“Pendekatan yang kita ambil antaranya melalui lawatan sambil belajar ke beberapa universiti terkenal di seluruh negara sebagai langkah untuk memberi pendedahan kepada anak-anak yatim bagaimana cara hidup sebenar di kampus,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah sukaneka Anak Yatim Negeri Terengganu yang disempurnakan Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Mohd Nasir Ibrahim fikri di sini Ahad.
Tengku Mahmud berkata Perkaya akan memainkan peranan dalam mengenal pasti anak-anak yatim yang berpotensi dengan memberikan tumpuan kepada kecemerlangan dalam pelajaran mereka.
Beliau berkata bagi anak-anak yatim yang cemerlang, ia tidak menjadi masalah kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran kerana Perkaya mempunyai saluran untuk menempatkan kesemua pelajar berkenaan di beberapa buah universiti.
“Kita tidak ada halangan untuk memasukkan anak-anak yatim ke universiti asalkan mereka memenuhi syarat dengan mencapai jumlah kredit mata pelajaran yang ditetapkan,” katanya.
— BERNAMA
Leave a Reply