PERMAISURI (Berita Harian): Walaupun barah paru-paru adalah antara penyebab utama kematian akibat kanser di negara ini, orang ramai mempunyai peluang sehingga kira-kira 90 peratus untuk mencegah penyakit itu.
Pakar Perunding Respiratori Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Norhaya Mohd Razali, berkata 90 peratus punca penyakit kanser paru-paru adalah disebabkan tabiat merokok pesakit atau perokok pasif (yang tidak merokok, tetapi terdedah kepada asap rokok).
Beliau berkata, kesukaran mengesan penyakit kanser paru-paru pada peringkat awal di kalangan pesakit juga menjadi antara penyumbang meningkatnya jumlah kematian akibat penyakit berkenaan.
Katanya, empat simptom utama yang ditunjukkan penghidap kanser paru-paru tahap tiga atau empat ialah batuk yang kuat, batuk berdarah, sesak nafas dan sakit tekak.
“Kanser paru-paru adalah penyakit yang boleh dicegah. Bagaimanapun, kesukaran mengesan penyakit itu pada peringkat awal selain tiada simptom ditunjukkan menyebabkan kebiasaannya pesakit hanya mengetahui diserang kanser paru-paru apabila penyakit sudah pada tahap ketiga atau keempat.
“Pada tahap ketiga atau keempat, ia sudah dikira sebagai peringkat yang lewat untuk membuat rawatan. Bagaimanapun, masih ada modul rawatan yang boleh diikuti oleh pesakit iaitu melalui kaedah kimoterapi, radioterapi, ‘targetted’ terapi dan pembedahan.
“Walaupun banyak kajian dilakukan, kita belum jumpa lagi cara untuk mengesan penyakit ini pada peringkat awal dan kesukaran ini boleh mendatangkan keburukan kepada pesakit,” katanya selepas membentangkan ceramah bertajuk “Pengenalan Kepada Kanser Paru-Paru” pada Kursus Neurorespiratori di Pulau Redang, di sini, semalam.
Leave a Reply