MARANG 28 Jun (Utusan Malaysia)- Kolej Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri (Tesdec) di sini kini melancarkan pelan pembangunan 10 tahun dalam usaha mencapai taraf sebagai sebuah kolej universiti.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, ketika ini, pembangunan kolej itu di tahap fasa kedua yang menyaksikan pembinaan bangunan baru untuk penambahan bilik pembelajaran.
Menurut beliau, fasa ketiga dijangka dimulakan pada akhir tahun ini selepas kolej itu menerima peruntukan berjumlah RM15 juta daripada kerajaan negeri.
Katanya, pembangunan fasa ketiga melibatkan pembinaan bengkel-bengkel dan asrama.
“Pelan pembangunan kolej ini adalah mengikut konsep taman industri yang mana pelbagai kursus berbentuk kemahiran dan skil akan diperkenalkan.
“Ini usaha mengantarabangsakan kolej ini selain mengikis persepsi masyarakat bahawa Kolej Tesdec adalah pilihan terakhir untuk melanjutkan pelajaran selepas gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi lain,” katanya ketika ditemui selepas melawat Kolej Tesdec.
Beliau berkata, buat permulaan, Kolej Tesdec akan memperkenalkan program diploma pertama iaitu Diploma Teknologi Kejuruteraan (Penyelenggaraan Automotif) yang ditawarkan dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
“Pengambilan sesi pertama iaitu seramai 50 pelajar akan bermula pada 12 Julai ini.
“Pengambilan pelajar untuk kursus yang memakan masa selama tiga tahun itu dilakukan sebanyak dua kali setahun,” ujarnya.
Beliau menambah, Kolej Tesdec juga menawarkan program persijilan dalam bidang kimpalan dan teknologi sambungan bahan serta kejuruteraan lain pada masa akan datang.
“Kita telah memeterai MoU (memorandum persefahaman) dengan The Welding Institute, United Kingdom untuk menawarkan sijil bertaraf antarabangsa itu.
“Kita juga akan memberikan perkhidmatan berasaskan kejuruteraan dalam sektor minyak dan gas melalui MoU itu,” jelasnya,
Leave a Reply