KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Menyedari potensi Terengganu untuk menjadi pengeluar madu lebah utama dalam negara, kerajaan negeri merancang membina Santuari Lebah tidak lama lagi bagi meningkatkan jumlah keluaran pada masa depan untuk memenuhi pasaran dalam dan luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Rozi Mamat, berkata dengan purata jumlah pengeluaran madu lebah lebih tujuh tan setahun daripada pengusaha di negeri ini, kerajaan negeri mahu mengkomersialkan secara lebih meluas manisan itu yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Tanpa mahu mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini, kerajaan negeri sudah di peringkat akhir cadangan pembinaan Santuari Lebah di kawasan hutan gelang (hutan paya bakau) yang sudah dikenal pasti dan pelancarannya akan diadakan tidak lama lagi.
“Terengganu berpotensi besar sebagai negeri pengeluar madu lebah, malah permintaan pasaran madu lebah juga tinggi kerana khasiatnya yang pelbagai sebagai manisan dan boleh dijadikan ubatan.
“Kita tahu bahawa lebah ini suka hutan gelang dan mudah membiak di sini. Jadi, kita akan buka Santuari Lebah di kawasan hutan gelang dan membiakkannya secara lebih serius.
“Kita akan biarkan lebah di hutan ini hidup liar dan mewartakan kawasan hutan ini supaya tidak diceroboh oleh mana-mana pihak,” katanya selepas merasmikan Ekspo Industri Asas Tani (IAT) Terengganu 2009 di Dataran Shahbandar, di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) negeri, Hasan Jusoh dan Pengarah IAT Ibu Pejabat Fama, Alwi Anang.
Seramai 125 usahawan IAT yang mengeluarkan sebanyak 10 jenis produk antaranya kerepek, produk sejuk beku, herba, nurseri, makanan tradisional, sos, bakeri, minuman dan jeruk menyertai ekspo berlangsung sejak Jumaat lalu.
Leave a Reply