KUALA TERENGGANU (Harian Metro): Arapaima Gigas yang didakwa wujud di Tasik Kenyir antara spesies hidupan air yang diharamkan ditangkap atau dipelihara di negara ini.
Pegawai Penyelidik Pusat Penyu dan Ekosistem Marin Terengganu, Abdul Wahab Abdullah, berkata ini kerana ikan itu dikategorikan sebagai karnivor iaitu memakan ikan lain sebagai makanan.
Menurutnya, ikan berkenaan mempunyai jangka hayat yang lama, manakala saiznya boleh membesar sehingga melebihi 4.5 meter dan mencapai berat sekitar 120 kilogram (kg).
“Ikan Arapaima Gigas tergolong dalam keluarga Osteoglossidae (ikan berlidah tulang) iaitu satu keluarga dengan Arowana di negara ini. Bentuk sisinya hampir sama dengan Arowana tetapi Arapaima Gigas mempunyai badan bulat manakala Arowana berbentuk leper,” katanya.
Beliau berkata, ikan karnivor itu mempunyai gigi halus seperti gigi haruan dan boleh membuka mulut seperti ular sawa. Cara makannya pula hampir menyerupai Toman dan Haruan, ia akan melihat dulu mangsanya sebelum menyambar.
“Bagi mereka yang baru melihat cara ikan ini membaham mangsanya mungkin terkejut mendengar bunyi kuat terhasil ketika ia menerkam mangsanya, malah ia turut menyebabkan air bergelombang,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, sebagai spesies karnivor, ikan berkenaan menggunakan giginya yang tajam untuk mencengkam mangsa sebelum menelannya.
Abdul Wahab berkata, Arapaima Gigas mendiami kawasan air gelap dan naik ke permukaan setiap 12 minit untuk menghirup udara.
“Anaknya berwarna hitam kehijauan dan warnanya bertukar warna merah garang apabila dewasa. Semakin dewasa, warnanya terang dan ini menjadikannya mirip seperti naga,” katanya.
Berhubung dakwaan kewujudan ikan berkenaan di Tasik Kenyir, beliau berkata, pihaknya tidak pernah dimaklumkan, namun jika dakwaan itu benar, pihaknya percaya ada kemungkinan ia dilepaskan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Kami tidak dapat memastikan kewujudan ikan naga atau Arapaima Gigas di Tasik Kenyir kerana tiada laporan, namun jika ia wujud, ia boleh memusnahkan pembiakan ikan lain.
“Kemungkinan juga lembaga hitam yang didakwa sering dilihat menyusuri beberapa sungai adalah ikan itu kerana ia bergerak seperti naga dan menyebabkan gelombang serta kocakan air kuat ketika menerkam mangsanya,” katanya.
Bagaimanapun, Abdul Wahab berkata, pihaknya sebelum ini ada dimaklumkan berhubung kewujudan ikan Tapah gergasi dan spesies itu boleh membesar dengan cepat kerana sumber makanannya iaitu ikan bersaiz kecil, banyak ditemui di tasik itu.
***************************
Posting berkaitan:
[…] Haiwan karnivor mungkin di Tasik Kenyir – https://alamakademik.wordpress.com/2009/06/28/haiwan… […]
[…] Haiwan karnivor mungkin di Tasik Kenyir – https://alamakademik.wordpress.com/2009/06/28/haiwan-karnivor-mungkin-di-tasik-kenyir/ […]
[…] Posts Misteri ikan naga Haiwan karnivor mungkin di Tasik KenyirSejadah Terapung di Masjid KristalTangkap ikan nagaKorban di Tasik Kenyir – Malang bergandaTaman […]
jawapan kepada misteri arapaima gigas
http://chekedondon.blogspot.com/2009/06/ikan-gergasi-tasek-banding.html