![]() |
Mengecat mengikut ukiran asal perahu Payang Barat ketika kerja-kerja pemulihan dijalankan di Muzium Kuala Terengganu, baru-baru ini. – Ehsan Muzium Negeri Terengganu
|
KUALA TERENGGANU 19 Jun (Utusan Malaysia)- Perahu Payang Barat dan Bedar yang dahulunya banyak digunakan di Besut di negeri ini dan Patani (Selatan Thailand) sangat unik dan mempunyai corak dekoratif yang sangat menarik.
Selain memiliki keunikan, dua jenis perahu itu juga mempamerkan nilai seni yang sangat tinggi khususnya dari segi pembuatan dan hiasan corak pada badan perahu.
Bagaimanapun, kini kehebatannya kian pudar disebabkan keadaannya yang berada ditempat terbuka.
Selain, Perahu Payang Barat, Perahu Bedar pula terkenal dengan ciri rupa bentuk seperti sudu atau paruh itik.
Koleksi Perahu Payang Barat dan Perahu Bedar adalah warisan maritim yang penting di Terengganu kini dipamerkan di perkarangan Kompleks Muzium Negeri Terengganu.
Pengarah Muzium Negeri, Mohd. Yusof Abdullah berkata, pihaknya giat menjalankan kerja-kerja pemuliharaan terhadap koleksi perahu itu bagi memastikan ia terus kekal sebagai tatapan generasi akan datang.
Katanya, skop kerja-kerja pemuliharaan ke atas koleksi perahu tersebut melibatkan kerja-kerja seperti membasuh keseluruhan badan perahu dan mengikis cat-cat asal yang mengelupas pada perahu.
“Selain itu pihak kami juga menutup lubang dan rekahan pada badan perahu dengan menggunakan gam kosam yang dicampurkan dengan habuk gergaji.
“Dan kerja-kerja mengecat semula dinding perahu serta corak dekoratif dengan warna yang serupa dengan warna asal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusof berkata, kerja-kerja konservasi ini mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkannya iaitu selama tiga bulan.
Katanya, ini disebabkan ketelitian kerja yang perlu ada bagi melukis corak dekoratif yang berwarna warni yang sudah pudar.
Perahu Payang merupakan perahu terbesar digunakan di Terengganu untuk menangkap ikan.
Operasi memukat adalah di kawasan laut dalam menggunakan pukat payang dengan awak-awak seramai kira-kira 15 orang.
Perahu ini dikenali sebagai perahu payang berdasarkan operasi memukat yang pada kebiasaannya menggunakan pukat payang berukuran 14.2 meter panjang, 2.27 meter lebar, 3.1 meter tinggi dan menggunakan dua layar.
Leave a Reply