KUALA TERENGGANU 17 Jun (Utusan Malaysia)- Syarikat pembuat kapal tempatan, Kaymarine Sdn. Bhd. kini dikenali di peringkat antarabangsa selepas menerima permintaan membina pelbagai jenis kapal daripada syarikat asing.
Pengarah Urusan syarikat itu, Khamarudin Mansor berkata, pihaknya kini dalam proses membina sebuah kapal untuk sebuah syarikat dari New Zealand.
Katanya, kapal untuk industri minyak dan gas bernilai RM27 juta itu mula dibina tiga bulan lalu.
”Pembinaan kapal sepanjang 48 meter itu dijangka disiapkan awal tahun depan.
”Syarikat Seawork Ltd. New Zealand merupakan syarikat asing ketiga yang membuat tempahan dengan kami selepas syarikat membuka perniagaan di peringkat antarabangsa enam tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, apabila kapal itu disiapkan, ia akan digunakan di pelantar minyak di Dubai, Emeriyah Arab Bersatu (UAE).
”Penggunaan kapal ini di negara itu juga dijangka menarik perhatian syarikat asing untuk menempah kapal dengan kami,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, syarikat itu juga kini membina sebuah kapal jenis catamaran untuk syarikat tempatan, Penang Port.
”Kapal sepanjang 13 meter itu dan bernilai RM1.8 juta itu dijangka disiapkan dan diserah dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Leave a Reply