
KUALA TERENGGANU (Sinar Harian)Peniaga di premis Kompleks Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menggesa pihak bertanggungjawab membuat rondaan dan pemantauan lebih kerap pada waktu malam, kerana didapati terlalu banyak gejala tidak sihat terutama membabitkan remaja, berlaku di sini.
Peniaga, Sharif Mamat, 56, berkata, kompleks itu dijadikan lokasi tumpuan golongan remaja berkumpul pada waktu malam dan melakukan aktiviti tidak sihat yang amat memalukan.
“Saya berniaga di sini sehingga malam dan sentiasa melihat gelagat remaja ini yang tanpa segan silu menjalankan aktiviti tidak bermoral. Ramai dalam kalangan mereka terutama remaja Islam, menjadikan premis ini sebagai pusat minum arak pada waktu malam.
“Di sini juga dijadikan lokasi pengedar dadah menghantar bekalan dan penagih dadah melepaskan gian secara terbuka. Keadaan premis yang agak suram pada waktu malam menjadi faktor utama mereka melakukan aktiviti ini tanpa rasa takut.
“Selain itu, premis ini turut dijadikan tempat pasangan bercinta bermadu asmara. Peniaga di sini sentiasa terserempak dengan pasangan yang sedang melakukan aktiviti tidak bermoral di belakang tiang dan di tempat yang agak sunyi dan gelap,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Sharif, aktiviti yang tidak sihat ini jika tidak dibendung boleh menggugat keselamatan orang awam terutama mereka yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres pada waktu malam.
“Di sini juga sering berlaku kes jenayah yang melibatkan orang awam yang sedang menunggu bas seperti ragut dan juga peras ugut wang terutama membabitkan kaki penagih dan pemabuk.
“Jadi, saya mewakili peniaga dan orang ramai yang sentiasa berada di sini berharap pihak bertanggungjawab tidak memandang remeh masalah ini kerana ia melibatkan keselamatan orang awam.
“Pihak bertanggungjawab juga diharapkan dapat meletakkan senarai nombor telefon pihak Jabatan Agama Islam dan pegawai polis yang boleh dihubungi pada bila-bila masa, di setiap kawasan yang mudah dilihat supaya memudahkan kami membuat laporan dan aduan jika berlaku kejadian seperti ini,” katanya.
Leave a Reply