![]() |
RAZAK Senik menunjukkan patung wayang kulit yang dihasilkannya dari kulit kambing di Kampung Surau Panjang, Marang, semalam. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDDI
|
KUALA TERENGGANU 5 Jun – Bagi Razak Senik, 57, dari Kampung Surau Panjang di sini, kebolehan membuat patung wayang kulit dan permainan rodat di negeri ini menjadi kebanggaannya.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Pok Jak kini seakan-akan kamus bergerak permainan wayang kulit kerana menjadi satu-satunya seniman yang masih meneruskan kegiatan tersebut di negeri ini sehingga kini.
”Sampai Pok Jak dimarahi isteri kerana asyik buat patung wayang kulit,” katanya mengimbas kenangan lalu di Kampung Surau Panjang, dekat sini baru-baru ini.
Berbekalkan minat sejak kecil, Pok Jak menjadikannya sebagai peluang untuk mencipta bakat dalam pembuatan patung wayang kulit dan semua perkakasan yang digunakan selain patung untuk bermain wayang kulit adalah hasil kerja tangan beliau sendiri.
Bahkan, ada juga antara penggiat seni itu yang membeli patung dan perkakasan wayang kulit daripada beliau berikutan kehalusan dan kehebatan yang dihasilkannya.
Mengenai konsep seni reka patung buatannya, beliau memberitahu, ia lebih halus kalau dibandingkan dengan patung-patung wayang kulit dari negara jiran.
Katanya, patung tersebut terbahagi kepada beberapa jenis mengikut bentuk dan watak dalam permainan wayang kulit contohnya, jenis halus dan menunduk ke bawah dengan tubuh kecil, penuh sopan tetapi mempunyai kuasa dan kekuatan yang luar biasa.
Jelasnya, patung-patung yang berhidung besar dan meninggi pula menggambarkan watak kasar lagi sombong.
”Watak-watak raksasa dan jin pula lebih besar dan berwajah garang serta mengerikan,” ujarnya.
Apabila siap dibentuk atau selepas selesai permainan, kesemua patung wayang kulit disimpan dalam sebuah kotak kayu.
Menurutnya, patung-patung yang wataknya mempunyai kemuliaan seperti Semar, boleh dikenali melalui cara menyimpan dan menjaganya serta hiasan yang dikenakan pada tubuhnya.
”Patung-patung ini dililit dengan benang mentah pada bahagian kepala atau pinggangnya. Kadang-kadang bunga melur dililit bersama benang mentah itu,” ujarnya.
Menurutnya, letak patung wayang semasa dimainkan adalah mengikut keutamaan dengan jenis yang halus diletak di sebelah kanan tok dalang sementara jenis kasar pula tempatnya ialah di sebelah kiri.
Jelasnya, semasa bermain, patung-patung jenis halus yang melambangkan raja-raja atau dewa-dewi dipacak pada batang pisang sebelah atas sementara yang kurang berkuasa atau penting wataknya dipacak pada batang pisang bahagian bawah.
Mengenai jenis patung dalam wayang pula Pok Jak berkata, ia dapat dibahagikan kepada empat bahagian berdasarkan rupa bentuk ukiran patung.
Antara contoh-contoh termasuklah patung berwatak lemah lembut, lucu, bengis atau garang dan watak binatang.
Bagi watak lemah lembut katanya, ia biasanya diberi kepada watak perempuan dan jika sesuatu episod memerlukan watak perempuan yang garang, tok dalang akan menghidupkan watak tersebut dengan kepandaian yang ada padanya.
Beliau memberitahu, kebanyakan watak perempuan terdiri daripada puteri raja, isteri raja, dan juga bidadari dari kayangan.
Mengenai watak Sita Dewi, Pok Jak berkata, ia merupakan satu watak penting, walaupun tidak mempunyai kesaktian, namun sebagai isteri raja yang masyhur, watak itu dilengkapi dengan perhiasan istimewa.
Selain itu, gambaran watak lelaki dalam jenis ini mewakili watak manusia dan ia diukir dengan halus dan berbentuk kecil, pakaian yang elok serta perhiasan yang halus dan banyak.
Menurutnya, watak yang tergolong dalam kumpulan ini ialah Seri Rama, Laksamana Nadia (putera raja) dan beberapa raja yang memerintah negeri.
”Seri Rama mempunyai kulit putih kuning dan cahayanya hijau. Walaupun Seri Rama mempunyai watak yang lemah lembut tetapi kekuatannya sukar ditandingi manakala Laksamana Nadia pula merupakan adik dan penolongnya.
Mengenai kedudukan watak bengis dan garang katanya, perbezaan watak itu dengan watak lain terutamanya watak baik adalah berdasarkan bentuk tubuh dan sifat lahiriah yang besar dan kasar ukirannya dengan mulut ternganga, bertaring dan bermata besar.
”Selalunya muka watak jenis ini sedikit mendongak untuk menunjukkan keangkuhan dan kesombongan, kalau menunduk pula sangat menunduk sehingga mencecah ke dada,” ujarnya.
Menurutnya, watak-watak utama dalam wayang kulit yang tergolong dalam watak garang tetapi baik hati adalah ialah Hanuman iaitu anak Seri Rama yang berbadan manusia dan bermuka kera.
Katanya, agak menarik dalam aspek watak wayang kulit ialah tidak ada watak perempuan yang garang dan walaupun watak perempuan itu anak atau isteri kepada raksasa, ia tetap digambarkan dengan elok.
Mengenai watak lucu pula, Pok Jak memberitahu, patung biasanya diukir dengan berbagai-bagai sifat yang menggambarkan humor seperti Wak Long, Pak Dogol, Mat Diah dan Samat.
cn i now more about razak…how 2 contact her? coz i do my reasearch in master about wayang kulit in kelantan n terengganu