KUALA TERENGGANU, 4 Jun (Bernama) — Ahli politik Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui SMS kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu dua bulan lepas.
Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh itu, kelihatan tenang ketika pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Mohamad Khalid Abdul Karim.
Mahkamah membenarkan Ahmad Ramzi, 37, diikat jamin sebanyak RM8,000 dan diarah menyerahkan pasport. Hakim Mohamad Khalid menetapkan 19 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, pada 11.21 malam 13 April lepas di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit di sini, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin Abdullah, Adun Paka, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya.
Ahmad Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Abdul Halim Jusoh, Adun Permaisuri, pada tarikh, tempat dan waktu yang sama, dan juga terhadap Datuk Rosol Wahid, Adun Ajil, pada 11.25 malam di tempat dan pada tarikh yang sama.
Untuk ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Ramzi boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan keempat pada tarikh dan tempat yang sama, antara 11.21 malam dan 11.25 malam, dia didakwa memfitnah Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin, Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web http://ownsmsbiz.com/v1 dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.
Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yussof dan Andi Razalijaya manakala Ahmad Ramzi diwakili peguam, Rosli Abdul Rahman.
— BERNAMA
***************************************
- Ex-Terengganu MB’s aide claims trial for SMS intimidation
- Ahmad Ramzi charged for SMS threats to BN reps
- Ramzi freed on RM50,000 bail
- Ramzi ditahan di hotel
- Police arrest Ahmad Ramzi over threatening SMS
- Datuk Ahmad Ramzi wanted by police over SMS threats
- Datuk Dr. Ramzi diberi tiga hari bantu siasat SMS ugutan
- Datuk Dr. Ramzi has 3 days to report to police
- Polis nafi cari setiausaha politik bekas MB
Leave a Reply