![]() |
Azhar Jusoh menunjukkan bahagian dapur rumahnya yang rosak akibat dihempap pokok mangga dalam kejadian ribut di Kuala Besut, semalam
|
BESUT 4 Jun (Utusan Malaysia)– Sebanyak 17 buah rumah di dua kampung dalam kawsan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut mengalami kerosakan akibat dipukul ribut petang semalam.
Ribut melanda Kampung Nangka dan Kampung Baru Gong Nering kira-kira pukul 4 petang menyebabkan bumbung rumah diterbangkan angin.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
Seorang mangsa, Mohd Azhar Jusoh, 28, dari Kampung Nangka berkata, ketika kejadian hanya kakaknya, Saidah Seman, 42, yang kurang upaya berada di rumah.
Menurutnya, ketika itu dia berada di Setiu dan adiknya, Riduan, 24, sedang bekerja di Kampung Gong Kepas di sini.
Menurutnya, dia diberitahu oleh jiran bahawa sebelum kejadian, hujan lebat diikuti angin kencang menyebabkan sebatang pokok mangga sebesar lebih sepemeluk tumbang lalu menimpa bahagian dapur rumahnya.
“Kakak saya yang ketika itu berada di bahagian dapur bergegas ke ruang tamu dan nasib baik pokok itu tumbang ketika dia telah beredar,” ujarnya.
Seorang lagi mangsa, Mohamed Abd. Rahman, 69, berkata, dia terkejut apabila bumbung rumahnya tiba-tiba terkopak kerana dipukul angin kencang.
Sebelum itu, katanya, dia berdiri di beranda rumah dan bumbung rumahnya diterbangkan angin tidak sampai 10 minit ribut melanda.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nangka, Abd. Rahim Abd. Razak berkata, bantuan segera seperti atap telah disalurkan untuk membolehkan mangsa membaiki kerosakan bumbung rumah masing-masing.
Menurutnya, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Besut akan menilai kerosakan yang dialami penduduk sebelum bantuan lain disalurkan.

[…] 17 rumah rosak dipukul ribut […]