
KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – TDM Berhad, sebuah syarikat pegangan pelaburan kerajaan Terengganu mengumumkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM6.5 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac tahun ini.
Pengerusinya, Senator Datuk Roslan Awang Chik berkata, keuntungan syarikat dengan operasi perniagaan teras dalam sektor perladangan, penjagaan kesihatan dan makanan itu menurun 78 peratus daripada RM30 juta bagi tempoh sama, tahun lepas.
Menurutnya, penurunan itu adalah lanjutan daripada harga purata Minyak Sawit Mentah (CPO) yang lebih rendah sebanyak 37 peratus dalam Bahagian Perladangan berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
“Bagaimanapun, dari segi prestasi operasi Bahagian Perladangan mencatatkan peningkatan 0.4 peratus dalam pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS), sementara Bahagian Penjagaan Kesihatan pula berlaku penambahan pesakit 11 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
“Kumpulan juga mencatat hasil bernilai RM67.717 juta bagi tempoh berakhir 31 Mac tahun ini berbanding RM88.274 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas, menunjukkan penguncupan sebanyak 23 peratus,” katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan TDM Berhad di Primula Beach Resort, di sini, semalam.
Menurut Roslan, di sebalik kelembapan ekonomi global semasa, pihaknya masih mencatat keuntungan dalam S1 dan ia menunjukkan pengeluaran berprestasi baik.
Terdahulu pada mesyuarat agung itu, TDM Berhad turut mengumumkan pembayaran dividen lebih tinggi iaitu 10.5 sen bagi setiap saham biasa berbanding 5.5 sen sesaham pada tahun 2007.
Syarikat itu berhasrat memberi bayaran dividen sekurang-kurangnya 30 peratus keuntungan tahunan bersih disatukan selepas cukai dan kepentingan minoriti, tertakluk kepada ketersediaan rizab boleh diagih.
Leave a Reply