
KUALA TERENGGANU (Sinar harian) – Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, James R Keith mengiktiraf Taman Tamadun Islam (TTI) sebagai tempat yang menarik dan wajar dikunjungi pelancong dari seluruh negara.
Menurut Keith, keindahan Masjid Kristal dan keunikan ukiran seni bina replika masjid dari serata dunia yang terdapat di taman monumen ini mampu menggamit pelancong.
“Ini adalah lawatan pertama saya ke Terengganu khususnya ke TTI. Saya terpegun menyaksikan pelbagai seni bina bangunan yang terdapat di sini.
“Seni bina Masjid Kristal juga cukup unik dan saya percaya tempat ini akan menjadi salah sebuah kawasan pelancongan utama di negara ini,” katanya sewaktu mengadakan lawatan singkat ke TTI, Pulau Wan Man, di sini.
Dalam kunjungan singkat itu, Keith dibawa melawat sekitar taman, pusat konvensyen dan Masjid Kristal.
Sementara itu, Pengurus Kanan TTI Management Sdn Bhd, Mohd Khomsa Chik, menyifatkan pengiktirafan Keith sebagai satu penghargaan yang sangat bermakna.
“Pengiktirafan ini membakar semangat kami untuk bekerja lebih keras bagi menaikkan nama TTI pada arena antarabangsa.
“Kunjungan Keith ke TTI juga membuka peluang kepada kami menjalinkan kerjasama dengan AS pada masa akan datang,’ katanya.
Katanya, sebelum ini TTI juga pernah menerima kunjungan daripada duta Jepun, Jerman, Australia dan Arab Saudi sejak ia dibuka kepada umum tahun lalu.
Leave a Reply