KUALA TERENGGANU, 15 Mei (Bernama) — Buku “Manual Guru: Pencegahan Buli di Sekolah”, yang mengandungi panduan lengkap kepada guru dalam menangani insiden buli di kalangan pelajar, dilancarkan Jumaat sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di sini, esok.
Pelancaran buku setebal 150 muka surat dan berharga RM24 senaskhah itu disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said di sini.
Ketua penulis buku berkenaan, Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub berkata manual tersebut dihasilkan dengan kerjasama dan sokongan padu daripada pelbagai pihak yang telah menjayakan kajian perintis program intervensi buli di beberapa buah sekolah di Lembah Klang.
“Antaranya kita mendapat maklumat daripada responden yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah, ibu bapa dan guru,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Noran Fauziah berkata kajian itu dibiayai oleh Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF) sementara HELP University College mencetuskan inisiatif ke arah penerbitan manual berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan Hari Guru peringkat kebangsaan di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man dekat sini, esok.
— BERNAMA
Leave a Reply