KUALA TERENGGANU (Harian Metro): Polis Terengganu menahan bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir jam 8.30 pagi, semalam.
Difahamkan, beliau ditahan di sebuah hotel selepas tempoh tiga hari diberikan polis terhadapnya untuk hadir memberi keterangan sejak Jumaat lalu berakhir.
Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner II Hamzah Mohd Jamil, berkata tangkapan dibuat bagi melengkapkan kertas siasatan kes SMS ugutan bunuh membabitkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu pada 13 Mac lalu.
Menurutnya, polis turut merampas dua komputer riba dan sebuah modem dari rumah beliau di Kampung Kubang Parit kira-kira jam 3 petang kelmarin menggunakan waran geledah.
Katanya, Dr Ahmad Ramzi kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri untuk siasatan lanjut dan akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah jika siasatan tidak dapat dilengkapkan dalam tempoh 24 jam
“Polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan bagi kesalahan ugutan jenayah, Seksyen 500 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memfitnah serta Seksyen 233 Akta Telekomunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian,” katanya di IPK Terengganu, semalam.
Hadir sama Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan.
Menurutnya, sebaik siasatan lengkap, polis akan merujuk kertas siasatan kes itu ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapat arahan lanjut termasuk mendakwa Dr Ahmad Ramzi.
Katanya, polis mempunyai bukti menunjukkan beliau terbabit dalam kes itu dan siasatan dijangka selesai dalam minggu ini bergantung kepada kerjasama diberikan.
Beliau berkata, siasatan dibuat setakat ini mendapati SMS ugutan bunuh diterima tiga Adun BN terbabit iaitu Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Mohd Ariffin Abdullah (Paka) pada 13 April lalu bukan dihantar menerusi telefon bimbit milik Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar.
Pada 23 April lalu, polis menahan seorang kerani berusia 31 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Bandar Baru Bangi, Selangor serta merampas peralatan termasuk komputer peribadi lelaki itu digunakan untuk menghantar SMS berkenaan.
Polis sudah menubuhkan satu pasukan khas menyiasat kes penyebaran SMS ugutan itu bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan orang awam.
Sementara itu, di luar bangunan IPK, beberapa penyokong Dr Ahmad Ramzi kelihatan tenang berkumpul bagi memberikan sokongan kepadanya.
[…] Ramzi ditahan di hotel […]
[…] Ramzi ditahan di hotel […]