KUALA TERENGGANU 11 Mei (Utusan Malaysia)- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan dua bot yang dinaiki 19 nelayan warga Vietnam kerana menangkap ikan secara haram di perairan negeri ini, semalam.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Kuala Terengganu, Komander Maritim Syed Mohd. Fuzi Syed Hassan berkata, kejayaan pertama terhasil apabila bot kilat APMM yang diketuai Bintara Kanan Maritim Rifin Stephen menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang mengalami kerosakan enjin bersama seorang tekong dan sembilan awak-awak.
Katanya, mereka ditahan pada pukul 11.30 pagi, kira-kira lima batu nautika dari Pelantar Minyak Resak atau 47 batu nautika dari Kuala Terengganu.
“Selepas itu, bot kilat APMM meneruskan rondaan dan terserempak dengan sebuah lagi bot yang dinaiki seorang tekong dan lapan awak-awak pada pukul 12.35 tengah hari lalu menahannya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, bot berkenaan ditahan kira-kira sembilan batu nautika dari Pelantar Minyak Resak atau 51 batu nautika dari Kuala Terengganu.
Syed Mohd. Fuzi memberitahu, sebaik sahaja menyedari kehadiran APMM, bot berkenaan cuba melarikan diri tetapi berjaya dipintas.
Katanya, APMM merampas hasil tangkapan ikan berjumlah 5,000 kilogram dari kedua-dua bot nelayan asing itu.
Tambah beliau, kesemua nelayan yang berusia antara 16 hingga 49 tahun itu ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri selain tiada permit untuk menangkap ikan.
Menurutnya, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 yang jika sabit kesalahan, tekong boleh didenda RM1 juta manakala awak-awak pula RM100,000 seorang.
Leave a comment