Ahmad Ramzi |
KUALA TERENGGANU: Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir diminta tampil membantu polis melengkapkan siasatan kes khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu bulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner (SAC II), Hamzah Mohd Jamil, berkata Ahmad Ramzi diberi tempoh tiga hari sehingga Isnin untuk datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dan jika dia gagal waran tangkap akan dikeluarkan terhadapnya.
Beliau berkata, sehingga kini, Ahmad Ramzi yang kini mungkin berada di luar negara, belum tampil memberi keterangan kepada polis, walaupun sudah diminta berbuat demikian pada 25 April lalu.
Ahmad Ramzi diminta menemui atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Hadzwan Zulkefle, talian 09-6246222 dalam masa terdekat.
Hamzah berkata, polis sudah mencari Ahmad Ramzi di kediamannya di Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur tetapi gagal mengesannya.
“Polis sudah selesai menjalankan kes dan hanya menunggu Ahmad Ramzi tampil memberi keterangan. Kita tidak menolak kemungkinan beliau berada di negara yang tidak diketahui, tetapi akan meminta kerjasama Jabatan Imigresen untuk semakan,” katanya, semalam.
Hamzah berkata, siasatan setakat ini mendapati SMS ugutan bunuh yang diterima tiga Adun BN itu bukan dihantar daripada telefon Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar Terengganu.
Sehubungan itu, beliau berkata, siasatan polis dijangka selesai apabila Ahmad Ramzi memberi keterangan kepada polis.
Hamzah meminta sesiapa yang mengetahui lokasi Ahmad Ramzi boleh menghubungi Polis Terengganu supaya dapat memanggilnya datang memberi keterangan.
Dalam perkembangan berkaitan, polis menahan seorang kerani berusia 31 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta, di Bandar Baru Bangi pada 23 April lalu serta merampas beberapa peralatan termasuk komputer peribadi yang dipercayai untuk menghantar SMS berkenaan.
Polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes penyebaran SMS ugutan itu bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai.
[…] Datuk Dr. Ramzi diberi tiga hari bantu siasat SMS ugutan -https://alamakademik.wordpress.com/2009/05/10/datuk-dr-ramzi-diberi-tiga-hari-bantu-siasat-sms-ugutan… […]
[…] Datuk Dr. Ramzi diberi tiga hari bantu siasat SMS ugutan […]
[…] Datuk Dr. Ramzi diberi tiga hari bantu siasat SMS ugutan […]