MARANG 7 Mei (Utusan Malaysia)- Kerajaan negeri akan terus membangunkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dengan melaksanakan beberapa projek untuk kemudahan penduduk.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, antara projek tersebut ialah pembinaan balai raya di 10 buah kampung di DUN berkenaan.
Beliau berkata, lima daripada balai raya itu yang menelan belanja RM1 juta bakal dilengkapi kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
“Saya dimaklumkan bahawa 10 kampung di sini memerlukan kemudahan balai raya dan untuk itu, saya meluluskan permohonan untuk pembinaan balai raya tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Balai Raya Seberang Marang di sini sempena Program Sehari Bersama Menteri Besar.
Beliau menambah, peruntukan sebanyak RM500,000 juga telah diluluskan untuk membantu penduduk yang mengalami kerosakan bumbung.
Katanya, peruntukan tersebut akan ditambah setiap tahun dan pihaknya menjangka tiada lagi penduduk yang mengalami kerosakan bumbung rumah.
Beliau juga memberitahu, empat kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan dibina di Bukit Kor di sini.
“Pembinaan tersebut dijangka dimulakan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh dan ia akan merupakan antara pembangunan yang dirancang di Marang,” ujarnya.
Leave a Reply