HULU TERENGGANU 27 April (Utusan Malaysia) – Nilai jualan barangan di pasar tani di negeri ini mencecah lebih RM12 juta setahun hasil sambutan yang diberikan pelanggan sejak dimulakan pada 1986.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat berkata, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, jumlah jualan di pasar tani melebihi RM1 juta setiap bulan.
Menurut beliau, keadaan itu berlaku kerana orang ramai kini semakin gemar membeli di pasar tani yang menawarkan harga berpatutan dan barangan segar.
Katanya, sambutan yang diberikan juga adalah hasil daripada pelbagai promosi yang dianjurkan dalam menarik kedatangan pembeli.
”Pasar tani juga menawarkan diskaun 20 peratus bagi pelbagai jenis ikan air tawar sejak awal tahun ini sebagai salah satu langkah menarik lebih ramai pembeli.
”Ia merupakan antara promosi yang diadakan bagi membantu masyarakat mendapat barangan keperluan harian dengan harga berpatutan ketika negara berhadapan kemelesetan ekonomi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani Ke-24 Peringkat Negeri Terengganu 2009 di Pasar Tani Kuala Berang di sini hari ini.
Pada majlis itu, Pasar Tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu diisytiharkan sebagai Pasar Tani Terbaik 2008 manakala Pasar Tani Jerteh, Besut diiktiraf sebagai Pengurusan Pasar Tani Terbaik 2008.
Rozi berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu telah mengenal pasti lokasi untuk mewujudkan sebuah pasar tani kekal.
”Ia merupakan tambahan kepada 10 pasar tani sedia ada,” ujarnya.
Leave a Reply