BESUT 27 April – Kerajaan tidak mampu memberikan bantuan yang berterusan kepada rakyat jika tiada usaha dan komitmen yang bersungguh-sungguh daripada mereka untuk menjayakan perancangan pembangunan yang telah dibuat.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, kerajaan sudah banyak mengeluarkan peruntukan dengan harapan dapat mengubah nasib rakyat.
Namun, katanya, pencapaian terutama dalam bidang pertanian masih tidak memuaskan berbanding peruntukan besar yang telah dikeluarkan selama ini.
”Keadaan ini berpunca daripada sikap rakyat terutama golongan petani, penternak dan nelayan yang masih tidak mahu mengubah fikiran mereka ke arah lebih positif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Bulan Tanaman dan Bumi Hijau Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera di Dewan Serbaguna Tembila di sini semalam.
Pada majlis itu, seramai 80 peserta dari dua kampung menerima benih pokok salak dan input pertanian yang merupakan sebahagian daripada program menggalakkan rakyat bercucuk tanam bagi mengeluarkan bahan makanan.
Muhammad Pehimi berkata, sebelum ini kerajaan telah melancarkan pelbagai program dalam bidang pertanian bukan sahaja untuk menambah hasil pertanian negara tetapi juga memberikan pendapatan sampingan kepada rakyat.
Bagaimanapun, jelasnya, apa yang diharapkan oleh kerajaan tidak bertahan lama kerana rakyat hanya berminat semasa peringkat awal sahaja tetapi selepas itu mendiamkan diri.
Sementara itu, beliau berkata, di kawasan DUN Kota Putera, seramai 803 peserta dari sembilan lokasi individu dan lapan lokasi komuniti menyertai Program Bumi Hijau itu sepanjang tahun ini.
Di peringkat daerah Besut pula, tambahnya, pihaknya mensasarkan sebanyak 800 projek individu iaitu tanaman keliling rumah dan 35 projek komuniti diusahakan melibatkan seramai 700 peserta.
Leave a Reply