KUALA TERENGGANU 26 April (Utusan Malaysia) – Sebuah bot nelayan asing yang melarikan diri sebaik sahaja dihampiri kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya ditahan kerana menangkap ikan secara haram di perairan negeri ini, semalam.
Kapal KM Segantang milik APMM mengesan bot pukat tunda itu ketika membuat rondaan pada pukul 8.40 pagi. Ia terpaksa melanggar buritan bot tersebut apabila tujuh nelayan dan seorang tekong nelayan itu nekad melarikan diri.
Menurut Ketua Penguatkuasa APMM Kuala Terengganu, Komander Maritim Syed Fuzi Syed Hasan, ketika dihampiri, bot berkenaan cuba melarikan diri dengan memotong pukat.
”APMM melepaskan suar sebanyak tiga kali sebagai amaran, namun bot nelayan tersebut terus melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, bot berkenaan dikesan berhampiran sebuah pelantar minyak dan berjaya ditahan di sekitar 84 batu nautika dari Kuala Terengganu.
Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati tekong, tiga awak-awak warga Thailand dan empat Myanmar berusia antara 21 hingga 43 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit menangkap ikan di perairan negeri ini.
Menurutnya, turut ditemui ialah hasil tangkapan sebanyak 400 kilogram.
”Nelayan ini melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 yang sabit kesalahan, tekong boleh didenda sebanyak RM1 juta manakala awak-awak pula RM100,000 setiap seorang,” ujarnya.
Menurutnya lagi, penahanan nelayan asing itu dibuat hasil maklumat dari pelantar minyak berkenaan yang menyatakan kawasan sekitarnya dijadikan kawasan tangkapan ikan secara berleluasa.
Katanya, tangkapan oleh KM Segantang yang diketuai Leftenan Maritim Aidil Adzhar Saleh bersama 18 anak kapal adalah yang ketiga sepanjang ‘Ops Perkasa Timur’ Siri 33/09 diadakan.
Leave a Reply