![]() |
WAN Baharizal Wan Bakar menunjukkan atap zink rumahnya yang diterbangkan angin kencang di Felda Tenang Besut, Terengganu, semalam.
|
BESUT 25 April (Utusan Malaysia) – Sebanyak 38 buah rumah kebanyakannya di Felda Tenang, Hulu Besut serta dua kampung lagi dekat sini, rosak dipukul ribut petang semalam.
Dalam kejadian hujan lebat beserta angin kencang kira-kira pukul 5 petang itu, 35 buah rumah rosak di Felda Tenang, dua buah di Kampung Batu 13 dan sebuah lagi di Kampung Bukit Payong.
Kebanyakan rumah rosak di bahagian bumbung kerana diterbangkan angin manakala beberapa buah rumah lagi rosak ditimpa pokok tumbang.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
Seorang mangsa di Kampung Bukit Payong, Isa Mohd. Noor, 50, berkata, ketika kejadian dia, isteri dan lima anaknya tidak berada di rumah dan hanya diberitahu kejadian itu oleh jirannya.
Menurutnya, setelah bergegas pulang, dia mendapati bumbung asbestos, dua bilik dan ruang tamu rumahnya pecah kerana dihempap sebatang pokok kekabu yang terletak berhampiran.
Jelasnya, dia bersama jiran bertungkus-lumus memotong batang pokok kekabu itu bagi mengelakkan dinding rumahnya pecah lagi dan runtuh.
Seorang lagi mangsa, Wan Baharizal Wan Bakar, 35, dari Felda Tenang berkata, sebelum kejadian dia yang baru balik dari kedai gunting rambut sedang bersembahyang Asar.
Menurutnya, namun pada rakaat pertama dia terdengar benda menghempap bumbung rumahnya disusuli air menitis sebelum menyelamatkan diri ke satu sudut di bahagian dapur.
Dari situ katanya, dia melihat atap zink rumahnya diterbangkan angin dan jatuh kira-kira lapan meter dari rumahnya.
“Saya bersyukur kerana selamat… Isteri dan dua anak saya tiada di rumah ketika kejadian,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad ketika menziarahi mangsa malam tadi dan pagi ini berkata, semua yang terlibat akan dibantu menerusi agensi yang sesuai.

[…] 8 rumah rosak dipukul ribut […]