KUALA TERENGGANU 23 April (Bernama) – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menahan 15 nelayan asing dan merampas dua bot mereka kerana menangkap ikan secara haram di perairan negara semalam.
Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Kuala Terengganu, Komander Maritim Syed Mohd. Fuzi Syed Hasan berkata, dalam operasi di kawasan pelantar minyak Angsi semalam, kapal APMM KM Segantang menahan dua bot nelayan, masing-masing dari Thailand dan Vietnam.
Beliau berkata, bot nelayan Thailand yang tidak mempunyai nombor pendaftaran bersama seorang tekong dan enam awak-awak ditahan pada kedudukan 85 batu nautika dari pantai Kuala Terengganu pada pukul 7.11 pagi.
Bot nelayan Vietnam itu pula yang menggunakan nombor pendaftaran BD 50553 TS, ditahan kira-kira pukul 10 pagi pada jarak kira-kira 57 batu nautika dari pantai Kuala Terengganu semasa kapal APMM KM Segantang mengiringi bot Thailand masuk ke jeti APMM Kuala Terengganu.
“Setelah diperiksa, didapati seorang tekong dan tujuh awak-awak yang berada dalam bot itu tanpa pengenalan diri serta permit menangkap ikan yang sah,” katanya kepada pemberita di pejabat APMM di sini hari ini.
Syed Mohd. Fuzi berkata, kesemua 15 nelayan berumur antara 16 dan 50 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985, dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap awak-awak dan RM1 juta bagi tekong.
Beliau berkata, hasil tangkapan kedua-dua bot nelayan asing berkenaan dianggar seberat 330 kilogram, dirampas. – BERNAMA
Leave a Reply