Penduduk Batu Rakit nikmati prasarana disediakan kerajaan
KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Peruntukan keseluruhan sebanyak RM4.4 juta yang disediakan kerajaan negeri bagi menyediakan pelbagai kemudahan asas termasuk membina ruang niaga dan menyelesaikan masalah air paip berkarat membuktikan kerajaan prihatin dengan permasalahan rakyat dan adil dalam pengagihan belanjawan untuk menyediakan prasarana demi keselesaan penduduk di Kampung Maras, Batu Rakit.
Lebih 7,000 penduduk di kampung yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Bandaraya Kuala Terengganu, bangga apabila semua masalah dihadapi dan dibangkitkan melalui muzakarah pada setiap kali perjumpaan diselesaikan kerajaan.
Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Batu Rakit, Khazan Che Mat, berkata antara masalah dihadapi penduduk di kampung itu ialah ketiadaan pasar, longkang dan parit tertimbus, air paip berkarat serta ketiadaan dewan untuk penduduk mengadakan perjumpaan dan aktiviti.
Bagaimanapun, katanya, masalah dihadapi dan dibangkitkan penduduk melalui muzakarah pada mesyuarat JKKK berjaya diselesaikan apabila kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM3.2 juta untuk keselesaan penduduk.
“Antara projek dilaksanakan ialah membina rumah kedai dua tingkat sebanyak empat pintu membabitkan peruntukan berjumlah RM1 juta; pembinaan pasar dan dewan serbaguna masing-masing membabitkan kos sebanyak RM1.2 juta.
“Bagi menangani masalah air berkarat, kerajaan menyediakan peruntukan RM500,000 untuk kerja-kerja penukaran saluran paip, membaiki parit dan longkang, RM200,000 serta menaik taraf beberapa jalan kampung membabitkan perbelanjaan RM300,000,” katanya.
Khazan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, berkata lebih membanggakan apabila JKKK Kampung Maras diberi tanggungjawab penuh kerajaan untuk mengendalikan dewan serbaguna yang turut mengandungi dua gelanggang badminton.
Katanya, JKKK itu juga diberi tanggungjawab mengendalikan kelas komputer yang ditempatkan di bangunan dewan serbaguna selain menguruskan sewaan dewan dan tiga bilik penginapan musafir.
“JKKK Kampung Maras adalah JKKK pertama di negeri ini diberi tanggungjawab penuh kerajaan untuk mengendalikan dewan dan ia adalah penghargaan paling istimewa,” katanya.
Kamaruddin Mohd, 58, yang diberi tanggungjawab menguruskan dewan serbaguna itu, berkata kadar sewa ditetapkan untuk penggunaan dewan dan bilik penginapan berhawa dingin serta gelanggang badminton adalah berpatutan.
Katanya, hasil sewaan dewan itu digunakan untuk pembayaran bil elektrik, air dan bakinya akan dimasukkan ke dalam tabung JKKK bagi melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan tanpa memohon bantuan daripada wakil rakyat.
“Kelas komputer dikendalikan dua guru iaitu Cik Akmal Harun dan Iza @ Noriza Wahab juga mendapat sambutan pelajar yang terdiri daripada anak penduduk di kampung ini.
“Seramai 33 pelajar yang sedang mengikuti kelas komputer dan mereka akan diberi sijil selepas mengikuti latihan selama tiga bulan,” katanya.
Pengerusi JKKK Kampung Maras, Azami Ali, 55, berkata seluruh warga penduduk yang mendiami kampung itu berbangga kerana semua masalah terutama berkaitan prasarana termasuk masjid mampu diselesaikan kerajaan dalam tempoh yang singkat.
Katanya, masalah parit tersumbat dan ketiadaan longkang sehingga menyebabkan berlakunya kawasan ditenggelami air juga selesai apabila RM200,000 diluluskan kerajaan negeri untuk membaiki saliran air.
“Kita juga akan memohon kepada kerajaan agar dapat membina longkang hingga ke sawah padi bagi menyelesaikan masalah sawah kekeringan air,” katanya.
Azami berkata, JKKK akan mengadakan mesyuarat setiap bulan serta ahli jawatankuasa diberi kebebasan untuk mengemukakan masalah dihadapi penduduk, sebelum ia dipanjangkan kepada Khazan.
“Kaedah menghentam kerajaan dan wakil rakyat kerana kekurangan kemudahan asas melalui persidangan di warung kopi tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya semua penduduk tanpa mengira fahaman politik diberi hak menyuarakan pendapat melalui muzakarah yang diadakan setiap bulan,” katanya.
be economy