KUALA TERENGGANU 22 April (Utusan Malaysia) – Pasar Malam Taman Shahbandar di sini yang beroperasi setiap hari Jumaat akan dipindahkan ke hadapan Bazar Warisan di sini mulai 1 Mei ini.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Nor Laila Ariffin berkata, pemindahan itu dilakukan bagi menyediakan satu kawasan tetap untuk para peniaga pasar malam tersebut.
Katanya, sebelum ini para peniaga pasar malam itu tidak dapat berniaga apabila Taman Shahbandar digunakan untuk majlis atau aktiviti tertentu.
”Kami menerima banyak aduan daripada peniaga yang tidak berpuas hati apabila mereka tidak boleh menjalankan perniagaan di Taman Shahbandar apabila ada sesuatu majlis diadakan.
”Kami berharap penempatan semula ini akan menyelesaikan masalah peniaga-peniaga berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nor Laila berkata, jalan di antara Bazar Warisan hingga ke simpang tiga Balai Bomba Kuala Terengganu akan ditutup dari pukul 2 petang hingga 10 malam setiap Jumaat berikutan penempatan semula pasar malam itu.
”Ia adalah bagi melicinkan operasi pasar malam selain membantu mengawal laluan trafik di sana,” katanya.
Selain itu, jelasnya, penempatan semula pasar malam itu juga akan membantu mempromosikan Bazar Warisan kepada orang ramai.
Leave a Reply