PERMAISURI (Berita Harian): Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan segera kepada semua mangsa ribut dan menghantar bahan binaan seperti atap bagi membolehkan mereka membaiki segala kerosakan akibat ribut dan angin kencang yang melanda di beberapa buah kampung di daerah ini, kelmarin.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata bantuan segera ini akan disalurkan melalui beberapa jabatan kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah, Pejabat Daerah Setiu dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk memastikan semua mangsa menerima bantuan untuk membaiki kerosakan kediaman mereka.
Katanya, bantuan segera amat diperlukan dan berharap kerja-kerja pembaikian dapat dilakukan segera setelah bahan binaan seperti kayu dan atap dapat dibekalkan kepada mangsa.
“Kita akan memastikan semua mangsa ribut mendapat bantuan ini dan ia akan diuruskan segera. Pejabat Daerah dan Pejabat Kebajikan Masyarakat diminta dapat membuat bancian dan menghantar bantuan secepat mungkin kepada mangsa yang terlibat, ” katanya selepas membuat lawatan mengejut ke rumah mangsa ribut di Kampung Penarik dekat sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Daerah Setiu, Marzuki Endut, Pegawai Kebajikan Masyarakat daerah, Emilia Sumiyati Embong dan Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee.
Dalam kejadian Ahad lalu, lebih 30 buah rumah rosak teruk termasuk sebuah rumah hampir ranap dihempap pokok kelapa selepas ribut melanda beberapa buah kampung di daerah ini.
Antara kampung terbabit dalam kejadian itu adalah Kampung Penarik, Kampung Penarik Baru, Kampung Banggol dan Kampung Kenderang yang terjejas teruk akibat angin kencang yang merosakkan beberapa buah rumah penduduk.
Selain bumbung rumah milik penduduk diterbangkan angin banyak pokok turut tumbang dalam kejadian itu hingga menyebabkan bekalan elektrik di beberapa buah kampung turut terputus.
[…] Mangsa ribut dibantu baiki kerosakan Possibly related posts: (automatically generated)Kes pecah rumah di Terengganu meningkatTiada lagi nilai kemanusiaanLagi rumah sewa dicerobohJeritan Maut […]