KUALA TERENGGANU 21 April – Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM243.3 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur telekomunikasi di seluruh negeri ini untuk tempoh tiga tahun sehingga 2010.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahaya Khatib Mohamad berkata, peruntukan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu adalah dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan telekomunikasi di negeri ini termasuk di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, sebahagian besar peruntukan itu bagi pembinaan 98 menara baru di bawah program TIME 3 yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM137.2 juta.
Katanya, melalui program TIME 3 itu, perkhidmatan telefon selular akan diperluaskan ke semua kawasan penempatan penduduk terutama di kawasan luar bandar seperti di Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Marang.
”Projek pembinaan menara ini telah bermula pada akhir tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2010,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Garis Panduan Penyediaan Kerja Sivil Bagi Infrastruktur Telekomunikasi di Kawasan Pembangunan Baru di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Wilayah Timur SKMM, Mohd. Shafie Harun.
Yahaya Khatib berkata, sebanyak RM72 juta daripada peruntukan itu juga akan digunakan untuk mewujudkan 48 Pusat Jalur Lebar Komuniti yang kini 12 daripadanya telah beroperasi sejak awal Januari lalu.
Selain itu, katanya, RM5.5 juta disediakan bagi menaikkan taraf 21 perpustakaan desa sebagai Perpustakaan Lebar Komuniti dalam memastikan penduduk di luar bandar turut sama menikmati kemajuan teknologi.
Beliau menambah, sebanyak RM15.6 juta lagi diperuntukkan bagi penyediaan 5,200 talian individu jalur lebar di kawasan terpilih.
Sementara baki RM4 juta pula adalah untuk penyediaan akses telekomunikasi asas kepada golongan orang kurang upaya yang akan dilakukan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Menurut beliau, adalah dijangka melalui peruntukan besar disediakan dan pembangunan yang akan dilaksanakan menjelang tahun tersebut kira-kira 95 peratus penduduk di negeri ini akan dapat menikmati kemudahan jalur lebar.
[…] RM243.3 juta projek telekomunikasi di Terengganu – https://alamakademik.wordpress.com/2009/04/22/rm2433-juta-projek-telekomunikasi-di-terengganu/ […]