KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Tasik Pekan Tepoh di sini, yang mempunyai daya tarikan unik serta pemandangan menarik akan dimajukan tidak lama lagi sebagai pusat rekreasi air dan lokasi tumpuan pelancong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh, berkata pembangunan tasik yang berpotensi sebagai tarikan pelancongan itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat di bawah pelan Rancangan Kawasan Khas Tepoh-Batu 6 (RKK).
Beliau berkata, adalah satu kerugian jika keindahan tasik dan suasana persekitaran yang nyaman tidak dimanfaatkan sebaiknya dengan menjadikan kawasan itu sebagai antara destinasi tumpuan pelancong, sekali gus meningkatkan tarikan pengunjung ke Tepoh.
“Berbanding kawasan lain di Kuala Terengganu ini, Tepoh agak ketinggalan. Ini mungkin disebabkan tidak banyak lokasi menarik yang boleh dikunjungi di sini.
“Jadi, pembangunan tasik pekan Tepoh ini akan menjadi titik permulaan untuk kita memajukan lagi kawasan ini supaya setanding dengan pekan lain seperti Gong Badak yang mempunyai banyak mercu tanda kerana kelebihan lokasinya berhampiran pantai.
“Di samping pemandangan sedia ada, kita akan mencantikkan lagi persekitaran tasik dengan lanskap yang menarik. Selain itu pelbagai aktiviti sukan air seperti berkayak dan memancing untuk minat orang ramai berkunjung ke tasik itu,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM1.6 juta untuk membina Dewan Serbaguna di Pekan Tepoh untuk manfaat penduduk setempat bagi membolehkan mereka lebih aktif menganjurkan pelbagai aktiviti komuniti bagi mengeratkan silaturahim.
Muhammad Ramli yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri berkata, kerajaan negeri peka dengan keperluan masyarakat setempat yang tidak mempunyai lokasi khusus dan sesuai untuk mengadakan program membabitkan penyertaan ramai penduduk pada satu-satu masa.
Leave a Reply