KUALA TERENGGANU 14 April – Dewan Undangan Negeri hari ini diberitahu bahawa larangan terhadap pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah telah dikuatkuasakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, walaupun kes membawa telefon bimbit sememangnya berlaku tetapi ia di luar kawalan atau tanpa disedari pihak sekolah.
”Kerajaan mengambil berat isu ini kerana ia boleh membawa kepada salah laku disiplin dan moral pelajar.
”Puncanya berlaku akibat kecanggihan teknologi sekarang dan kita akan memastikan kejadian serupa tidak berlaku pada masa depan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Burok) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Syed Azman mendesak pihak berkuasa membendung gejala pelajar yang membawa telefon bimbit berkamera ke sekolah kerana ia boleh membawa kepada kejadian buruk termasuk maksiat di kalangan pelajar.
Leave a Reply